Selangor lulus projek kilang tertinggi di Malaysia

Iklan
Sultan Sharafuddin (tengah) berkenan berangkat pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-14 pada Isnin. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Selangor mencatatkan nilai pelaburan berjumlah RM5.96 bilion daripada 182 projek perkilangan yang diluluskan sejak Januari hingga September tahun lalu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, jumlah projek itu merupakan yang tertinggi berbanding negeri lain dengan 12,226 potensi peluang pekerjaan.

Iklan
Iklan

Sultan Sharafuddin bertitah, pencapaian tersebut mampu dicapai menerusi inisiatif kerajaan Selangor melalui penganjuran Selangor International Business Summit (SIBS) oleh Invest Selangor Berhad.

"Objektif penganjuran program ialah mempromosikan Selangor sebagai Hab Perdagangan Global di rantau ASEAN dan memberi peluang kepada syarikat tempatan dan asing untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka.

Iklan

"Program itu turut memberi peluang menjalin kerjasama perniagaan bagi menjadikan negeri Selangor sebagai destinasi pelaburan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi tahun 2022 di Dewan Negeri Selangor, di sini pada Isnin.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Sultan Sharafuddin turut menjangkakan pembukaan Fasa Satu Projek Transit Aliran Massa (MRT2) laluan Sungai Buloh - Serdang - Putrajaya akan merancakkan sektor ekonomi sampingan kepada semua pihak.

Titahnya, projek yang bermula dari Damansara ke Stesen Kampung Batu dijangka siap selewat-lewatnya April depan.

"Ia termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan MRT3.

"Beta sangat berharap pelaksanaan projek ini tidak menimbulkan kesan atau bencana lebih teruk dan mengganggu kehidupan rakyat yang terpaksa menanggung akibat untuk tempoh lama.

"Oleh itu, suka beta ingatkan supaya semua pihak yang terlibat sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri perlu memastikan kerja-kerja dijalankan dengan teratur serta disempurnakan dengan baik," titah baginda.

Pada Januari lalu, Sultan Sharafuddin memberi perkenan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi Penggal Ke-14 bagi tahun 2022 yang dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula 14 Mac.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, pembukaan sidang DUN kali ini akan dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ketat.