SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) akan menjalankan tiga program pemerkasaan untuk melindungi pengguna daripada penipuan sempena Hari Hak Pengguna Sedunia 2022 yang disambut pada 15 Mac.
Presidennya, Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, ini kerana berdasarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, antara tahun 2019 dan 2020 pengguna telah kerugian sejumlah RM 541.8 juta disebabkan oleh penipuan.
Jelasnya, antara program tersebut adalah Fomca bersama Bank Negara Malaysia (BNM) akan melancarkan Majalah Ringgit Digital, yang bertujuan untuk mendidik pengguna.
"Ia terutamanya pengguna muda untuk mengamalkan gaya hidup mampan dan amalan pengurusan kewangan peribadi di kalangan pengguna Malaysia.
"Majalah Ringgit Digital akan diterbitkan melalui edisi portal digital yang boleh digunakan untuk berkongsi maklumat dengan pihak berkepentingan terutamanya pengguna. Ia akan diterbitkan setiap 2 bulan sekali,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, Fomca juga akan mewujudkan kesedaran melalui media sosial iaitu Tiktok, Facebook dan Instagram dengan kerjasama bersama pengaruh digital dalam menyampaikan mesej kesedaran mengenai penipuan.
Jelasnya, mesej kesedaran tersebut akan menumpukan tiga kes penipuan online yang berbeza yang diterima oleh National Consumer Complaints Centre (NCCC).
"Fomca juga akan memuat naik program pendidikan pengguna mengenai tips perlindungan diri daripada penipuan perbankan, penipuan pelaburan serta penipuan yang lain.
"Fomca akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk membangunkan bahan pendidikan tersebut. Program pendidikan yang pertama mengenai Penipuan Kewangan akan dimuat naik pada 15 Mac 2022,” ujarnya.
Menurut beliau, bagi memastikan Kesaksamaan Kewangan Digital yang merupakan tema Hari Hak Pengguna Sedunia 2022, Fomca akan terus memberikan tumpuan untuk melindungi pengguna daripada sebarang penipuan.