KUALA LUMPUR - Kedudukan Sabah sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia tidak akan terjejas berikutan 'final award' berhubung tuntutan waris Sultan Sulu yang diputuskan dalam prosiding timbang tara di Mahkamah Arbitari Paris, Perancis.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia tidak akan melayan sebarang tuntutan ke atas Sabah seperti mana yang telah diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai antara yang menubuhkan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.
"Ingin ditegaskan kerajaan tidak berdiam diri, sebaliknya telah mengambil beberapa langkah perlu untuk menghentikan prosiding tuntutan itu,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Isnin.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan dan prosiding timbang tara berkaitan arahan pembayaran pampasan berjumlah RM62.59 bilion ($14.92 bilion) kepada waris Sultan Sulu itu.
Wan Junaidi dilaporkan berkata, penimbang tara yang dilantik iaitu Dr Gonzalo Stampa telah dibatalkan pelantikannya dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.
Sementara itu berhubung isu Pulau Pisang di Johor, Saifuddin menjelaskan, kedaulatan pulau itu tidak dipertikaikan Singapura sekali gus menjadi hak milik sepenuhnya Malaysia.
"Singapura juga mengiktiraf hak kedaulatan berdasarkan perjanjian dimeterai antara Almarhum Sultan Ibrahim dan Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir James Alexander Sweethenham pada 6 Oktover 1900.
"Hanya pengurusan rumah api di sana (Pulau Pisang) berada di bawah pengurusan dan pentadbiran 'Maritime and Port Authority of Singapore',” katanya.
Saifuddin turut menjelaskan, pekerja di rumah api Pulau Pisang perlu mendapat kebenaran melalui imigresen Malaysia di Kukup, Johor untuk keluar masuk ke kawasan terlibat.
Dalam pada itu mengulas mengenai keselamatan pejabat dan kakitangan kedutaan yang berada di luar negara, Saifuddin berkata, kerajaan tidak berkompromi terhadap keselamatan mereka dan akan melakukan proses evakuasi jika perlu.
"Dari masa ke masa kerajaan juga akan menaik taraf sistem keselamatan pejabat-pejabat perwakilan Malaysia di luar negara, contohnya seperti kamera litar tertutup, kad akses dan pendaftaran pelawat,” katanya.