KOTA BELUD - Pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu entiti politik menjadi lebih bermakna jika disertai parti tempatan di negeri tersebut.
Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berkata, kelulusan pendaftaran GRS itu hanya sebagai penjenamaan baharu kepada politik lama di Sabah jika masih disertai oleh parti-parti dari Semenanjung iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, Pas, MCA dan sebagainya.
"Ia tidak memberi kelebihan kepada harapan dan tuntutan politik rakyat Sabah selagi teraju utama dan kepimpinan tertinggi GRS masih dipengaruhi dasar-dasar kepimpinan Malaya (Semenanjung).
"Saya maklum dengan pandangan ahli-ahli akar umbi dan rakyat Sabah tentang penyertaan UPKO dalam Pakatan Harapan (PH) Sabah yang juga merupakan gabungan di peringkat nasional dan kepimpinan negeri diterajui oleh parti dari Semenanjung," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin akar umbi UPKO di Mukim Kelawat dan Kinasaraban, pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian itu berkata, sebagai pemimpin parti, beliau perlu akur dengan kehendak dan aspirasi rakyat serta ahli parti.
"Sebagai Naib Presiden UPKO, saya ambil maklum kemahuan sebahagian besar rakyat Sabah yang mahukan gabungan politik mewakili parti-parti tempatan.
"Saya boleh mengadakan referendum UPKO jika GRS didaftarkan hanya mencakupi parti-parti tempatan Sabah, tetapi jika masih diterajui dan dianggotai oleh parti-parti dari Semenanjung, ia tidak berbeza daripada gabungan politik sedia ada," katanya.
Sebelum itu, dalam pertemuan dengan pemimpin akar umbi, Ewon menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada ketua isi rumah di kedua-dua mukim berkenaan.