ALOR GAJAH - Sepasang suami isteri sebak menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Sains dan Komputer (Kepintaran Buatan) dengan Kepujian secara anumerta kepada mendiang anak mereka, Soh Javid, 25, pada majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ke-17 di sini, pada Isnin.
Soh Teng Lin, 57, yang merupakan seorang petani hadir ke majlis itu bersama isterinya, Chan Geok Bee,54 dan anak perempuan mereka, Soh Miow Chyi, 29.
Teng Lin berkata, anaknya meninggal dunia selepas beberapa jam terjatuh berdekatan bilik air rumah mereka di Bukit Kepong, Muar, Johor pada 3 Jun tahun lalu.
Menurutnya, selepas insiden itu anaknya ditemui oleh abangnya dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam bilik tidur sebelum dikejarkan ke Hospital Muar.
"Selepas terjatuh dia masih boleh bangun dan beritahu keadaannya tidak teruk dan tidak mengalami sebarang luka malah tidak mahu dihantar ke klinik.
"Namun mungkin ada pendarahan berlaku dalam kepalanya memandangkan salah seorang anak saya mendengar hentakan yang kuat ketika mendiang terjatuh," katanya kepada pemberita.
Jelasnya, walaupun berat hati untuk hadir ke majlis itu namun mengenangkan ini adalah penghormatan dan penghargaan kepada anaknya yang merupakan harapan keluarga dia kuatkan dirinya.
"Sedih bila tengok keluarga lain meraikan anak mereka yang bergraduasi, namun kami tidak dan kehilangannya masih dirasai kami sekeluarga," katanya.
Anugerah itu disampaikan oleh Tun Canselor UTeM, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Mendiang yang juga anak ketiga dari empat beradik itu berjaya menyelesaikan 100 kredit pembelajaran sepanjang pengajian dengan GPA terakhir 3.40 dan CGPA 3.72.
Pada majlis itu seramai 3,275 graduan diraikan pada majlis konvokesyen yang bermula Isnin hingga Khamis ini.