Isu pampasan waris Sultan Sulu: Tommy mesti bertanggungjawab

Iklan
Ahmad Zahid

SHAH ALAM - Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang dilantik oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu bertanggungjawab terhadap isu pampasan yang dituntut waris Sultan Sulu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Tommy harus mempunyai penjelasan yang lengkap, telus dan munasabah terhadap tindakan yang tidak bertanggungjawab itu.

Iklan
Iklan

Jelasnya, tindakan yang dilakukan Tommy itu menyebabkan masyarakat bukan sahaja berasa marah dan kesal tetapi ramai yang mula berasa tidak selamat.

"Tindakan Tommy bukan sahaja tidak mencerminkan ketegasan negara dalam mempertahankan kedaulatan malah, ketundukan kerajaan PH pada desakan luar dalam isu tuntutan waris masyarakat Sulu di Sabah yang tidak seharusnya dilayan telah meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang sukar.

Iklan

"Ia bukan sahaja perihal pampasan RM63 bilion, ia turut memalukan dan mengancam keselamatan awam,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Pada Isnin, laman web berita Sepanyol La Información melaporkan bahawa penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada waris sultan Sulu itu sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).

Iklan

Memetik laporan, dengan tidak membayar wang pemisahan sejak 2013, Malaysia telah melanggar perjanjian 1878 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al Alam, Baron de Overbeck dan Alfred Dent milik syarikat British Utara Borneo.

Justeru katanya, Malaysia kini mempunyai tiga bulan untuk membayar pampasan tersebut atau berisiko membayar faedah, melainkan anugerah tersebut dibatalkan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan semasa mesti bertindak dengan memanggil bekas peguam negara tersebut untuk tampil membuat penjelasan.

Jelasnya, kerajaan mesti menubuhkan pasukan khas untuk meneliti keseluruhan perkara tersebut dan menerangkan kesemuanya kepada masyarakat.

"Ketiga, saya menyeru masyarakat untuk bersama-sama meneliti isu ini dengan rapat. Kita tidak boleh membiarkan peguam negara lantikan PH dan mereka yang terlibat dalam isu kedaulatan ini terlepas begitu sahaja.

"Sebelum ini Pulau Batu Puteh sudah terlepas. Ini pula isu kedaulatan yang melibatkan Sabah. Mereka tidak boleh dibiarkan terlepas,” ujarnya.

Beliau turut mendakwa bahawa Tommy yang mendedahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) di dalam bukunya 'Justice In Wilderness' hanya untuk menutup kelemahan dan kesilapannya dalam isu ini.

"Kononnya kakitangan kerajaan dalam AGC tidak kompeten, tidak cekap dan sebagainya. Barangkali semua itu hanya untuk menutup kelemahan dan kesilapannya dalam isu ini. Sehingga memburuk-burukkan Jabatan Peguam Negara.

"Beliau harus sedar, apa yang dilakukan itulah maksud sebenar ‘Justice In Wilderness’, satu keadilan dan proses kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’ yang diperkotak-katikkan secara sesuka hati,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan PH yang sebelum ini hadir dengan ‘topeng’ dan laungan palsu mahu menjadi penyelamat negara dengan naratif Malaysia Baharu merupakan dalang yang berpotensi menggadaikan kedaulatan negara.

"Malaysia Baharu bukan sahaja satu propaganda politik. Rupa-rupanya ‘baharu’ mereka ini telah membawa maksud baharu dalam cara kita mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.