'Dah kalah itu kalahlah'- Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad Maslan - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - UMNO menempelak sesetengah pihak yang menyifatkan parti itu tidak menang undi popular walaupun berjaya menguasai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sistem demokrasi di negara ini tidak menggunakan sistem undi popular sebaliknya menggunakan sistem ‘first past the post’.

Iklan
Iklan

"Saya lihat sehari dua ini ada sesetengah pihak menggunakan analisis mengenai undi popular ini seumpama untuk memuaskan hati pihak yang kalah. Dah kalah itu kalahlah.

"Sistem undi di negara ini bukan boleh dicampurkan undi Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Pejuang, Bebas, lawan undi Barisan Nasional (BN). Itu tidak betul bukan itu kaedah di Malaysia dan kita bukan gunakan sistem pilihan raya seperti di Amerika Syarikat.

Iklan

"Jumlah pengundi yang keluar mengundi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) jika mendapat majoriti undi, maka menanglah DUN itu,” katanya dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Auditorium UMNO, Menara Dato' Onn pada Isnin.

Ahmad berkata, tidak adil untuk mengaitkan kemenangan BN dengan undi popular sebaliknya menegaskan parti itu telah menang mengikut konteks demokrasi negara.

Iklan

"Jadi tak perlulah nak dicampur dengan berapa undi pembangkang dapat di kawasan bandar dan dibanding dengan undi BN yang dapat di kampung. Itu bukan sistem yang digunakan di negara ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan cakap-cakap yang menyatakan BN menang kerana tidak ramai pengundi yang keluar mengundi pada PRN itu.

"Dalam konteks demokrasi, orang yang tidak keluar mengundi tidak pernah dihalang untuk keluar mengundi. Siapa suruh dia tak keluar?

"Mereka yang tidak keluar mengundi itu kenalah terima keputusan mereka yang telah mengundi. Itu kaedah sistem demokrasi di Malaysia," katanya.