KUALA KANGSAR - Seorang lelaki warga emas maut selepas van yang dipandunya melanggar tiang elektrik selepas melalui satu selekoh di KM49.5, Jalan Ipoh - Taiping di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 pagi itu, Mohamed Taib Salleh, 62, yang tinggal di Kampung Lempor Pekan, Manong di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, polis menerima maklumat berlaku kemalangan yang disyaki telah terbabas sendiri.
"Siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku dari arah Sayong menghala ke Taiping. Setibanya di tempat kejadian, dipercayai kenderaan mangsa telah hilang kawalan.
"Akibatnya, kenderaan mangsa terbabas ke kiri dan terlanggar tiang elektrik di bahu jalan. Mangsa tersepit di tempat duduknya dan khidmat bomba dipanggil untuk keluarkan mangsa,” katanya.
Menurutnya, mangsa meninggal dunia akibat cedera parah dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.
"Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kenderaan terlibat ditahan untuk pemeriksaan Puspakom,” katanya.