Undi popular hanya alasan mereka yang tewas

Iklan
Zambry menyantuni pelajar yang hadir sempena Program Ceria Kembali ke Sekolah #MyAirportCARES di Dewan Merdeka Seri Manjung pada Isnin.

LUMUT - Dakwaan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak boleh dibanggakan kerana tidak memperoleh undi popular hanyalah alasan mereka yang kecewa dan tewas.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kenyataan seumpama itu bukan sesuatu yang memeranjatkan dan memang sering kali digunakan untuk menidakkan kemenangan diraih sesebuah parti.

Iklan
Iklan

"Kita faham ada pihak yang tidak mencapai kemenangan, mereka akan memberikan alasan BN kehilangan undi popular.

"Adakah bermakna bila tidak dapat undi popular, BN tidak boleh bentuk kerajaan? Tidak, sebab sistem politik kita itu yang perlu difahami, melainkan kita membuat sistem secara kaedah pemilihan presiden, yang mana kita perlukan undi popular (untuk menang bertanding)," katanya dalam sidang akhbar sempena Program Ceria Kembali ke Sekolah #MyAirportCARES di Dewan Merdeka Seri Manjung di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media bahawa peratusan undi popular bagi PRN Johor tidak memihak kepada BN apabila meraih 43.11 peratus atau 599,753 undi.

Ini diikuti Perikatan Nasional (PN) memperoleh 24.04 peratus dan Pakatan Harapan (PH) dengan 20.48 peratus.

Iklan

Undi popular adalah merujuk kepada jumlah undi diraih setiap parti atau gabungannya.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, isu undi popular tidak relevan dalam sistem politik di negara ini yang mengamalkan sistem 'first past the post' iaitu berdasarkan undi terbanyak diperolehi oleh seseorang calon dalam kawasan yang ditandinginya.

Apatah lagi katanya, PRN kali ini tidak hanya melibatkan dua parti bertanding, sebaliknya pelbagai kelompok yang mempunyai kepentingan dan matlamat masing-masing.

"Pilihan yang dibuat pengundi itu bukan semata-mata dilihat sebagai parti BN dan bukan BN, sepatutnya dilihat dalam konteks berapa parti yang bertanding dalam kawasan berkenaan.

"Kalau kita lihat dalam konteks itu, maka tidak timbul soal undi popular dan sebagainya," jelasnya.

Beliau berkata, kemenangan besar BN dengan 40 kerusi DUN pada PRN Johor menunjukkan rakyat mahukan sebuah parti yang boleh membawa kestabilan dan kemakmuran khususnya dalam ekonomi.

Katanya, daripada maklum balas pengundi sepanjang tempoh berkempen, mereka terutamanya golongan muda mahu melihat parti politik yang boleh membawa alternatif-alternatif yang baik, proses pembaikan termasuk dasar dan inisiatif kebajikan serta keperluan rakyat.

"Apabila kita berbual dengan anak muda dan golongan dewasa, mereka mahu tengok apa yang kita hendak buat, bagaimana kita mahu menyelesaikan masalah pekerjaan, ekonomi, perumahan, masalah asas yang rakyat hadapi. Ini yang rakyat hendak dengar.

"Pihak penentang BN pula menggunakan isu-isu lama secara habis-habisan hinggakan ada dalam kalangan mereka bertanya, tidak ada cerita lain ke, cukuplah itu, isu dan kes (mahkamah) sudah berjalan, tetapi (penentang BN) memainkan terus (isu ini).

"Rakyat tidak boleh diperbodohkan kerana tumpuan sepatutnya diberikan bagaimana untuk membina negeri Johor yang lebih baik dari sekarang," katanya.