PEMAIN pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee disenaraikan menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang bermula pada Isnin.
Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon berkata, Ahmad Khuzaimi yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia dipanggil melapor diri ke kem latihan bagi menggantikan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Syahmi Safari yang memohon pengecualian.
"Permohonan pengecualian itu dibuat (Syahmi) susulan kelahiran bayi kembar tiganya. Perancangan asal adalah bagi menggantikan Syahmi dengan seorang pemain pada posisi sama iaitu bek kanan.
"Tetapi pemain Sabah FC, Rizal Ghazali menolak pelawaan tersebut," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin.
Pan-gon berkata, atas sebab taktikal, pengurusan pasukan kebangsaan membuat keputusan memberi peluang kepada Ahmad Khuzaimi membuktikan kemampuan sebagai pemain bek tengah berkaki kiri.
"Bagi pihak FAM, pengurusan pasukan kebangsaan dalam pada itu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Syahmi seisi keluarga atas kelahiran ini,” ujarnya.
Untuk rekod, skuad Harimau Malaya sedang dalam rangka persiapan selama lapan hari bagi mengharungi tiga aksi persahabatan di Singapura.
Anak-anak buah Pan-gon dijadual menentang Filipina pada 23 Mac, disusuli aksi bertemu tuan rumah, Singapura tiga hari kemudian sebelum aksi menentang kelab Albirex Niigata FC pada 28 Mac.