Letupan Menara Eiffel satu amaran!

Iklan
Rakaman video tersebut memaparkan letupan kuat menggegar ibu kota Paris dan asap tebal menyelubungi Menara Eiffel. - Foto: Twitter/ @DefenceU

KIEV - Kementerian Pertahanan Ukraine menyiarkan rakaman menggemparkan yang memaparkan serangan udara dilancarkan ke atas Menara Eiffel di Paris.

Tetapi, rakaman video berdurasi 45 saat itu sebenarnya ialah satu mesej jelas kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) supaya segera menutup ruang udara Kiev jika enggan kejadian tersebut benar-benar berlaku.

Iklan
Iklan

"Cuba bayangkan jika insiden ini berlaku di ibu kota Eropah lain," jelas kapsyen klip video berkenaan yang dimuat naik pada Sabtu lalu.

Rakaman video tersebut bermula dengan aksi seorang wanita yang merakamkan gambarnya dengan berlatarbelakangkan mercu tanda kebanggaan Perancis tersebut.

Iklan

Beberapa saat kemudian, satu letupan kuat menggegar ibu kota Paris dengan asap tebal menyelubungi Menara Eiffel disusuli beberapa jet pejuang kelihatan melalui kawasan tersebut.

Ia kemudiannya memaparkan beberapa mercu tanda lain seperti gereja roman katolik, Sacré-Coeur diselubungi asap tebal dan turut kedengaran bunyi siren serangan udara.

Iklan

"Kami akan berjuang hingga ke titisan akhir," menurut kapsyen yang sering dilaungkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy.

"Beri kami peluang untuk hidup. Tutup ruang udara Ukraine atau beri kami jet pejuang. Jika Ukraine jatuh, anda juga akan terima nasib sama," jelas kapsyen tersebut lagi.

Sejak minggu lalu, Zelenskyy telah berulang kali menggesa pemimpin Barat melaksanakan zon larangan terbang, namun tidak diendahkan atas alasan enggan meningkatkan lagi ketegangan dengan Rusia.

Beliau yang mendapat julukan 'pemimpin sebenar era perang' turut menyelar alasan tidak munasabah diberikan NATO kerana ia telah memberi lampu hijau kepada Moscow untuk memperhebatkan lagi serangan dan menyebabkan kemusnahan stuktur lebih dahsyat di Kiev. - Agensi