BRM FC 'terkejut' gol awal JDT

Iklan
Kesebelasan BRM FC yang diturunkan ketika menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad. - Foto FB BRM FC

PENGENDALI BRM FC, Ahmad Fairuz Mohd Yunus menyifatkan gol seawal minit kedua menjadi faktor utama yang 'menyentak' semangat skuad kendaliannya ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pusingan pertama Piala FA 2022 di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.

Menurutnya, gol berkenaan nyata mengejutkan kesebelasan pemain yang menyasarkan untuk tidak dibolosi dengan dengan banyak pada separuh masa pertama, namun akhirnya menyaksikan skuad Liga-M3 itu tewas 0-10 kepada JDT.

Iklan
Iklan

"Kita terkejut kena gol awal, kerana sasaran kita mungkin pada separuh masa pertama hanya bolos dua atau tiga gol, tetapi apa yang dirancang tidak menjadi.

"Saya juga ada bertanya pendapat rakan-rakan dan majoriti mengatakan bermain dengan cara ‘parking bas,’ tetapi akhirnya kita tidak berbuat demikian kerana kita mahu ‘enjoy’ perlawanan ini dan jadikan ia sebagai satu pendedahan bermakna kepada pasukan kita.

Iklan

"Selain itu, kita juga kecewa apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain dan gagal jaringkan penalti, tetapi apa pun secara keseluruhannya kita akur dengan kekalahan ini,” katanya setelah tamat perlawanan.

Pada perlawanan berkenaan pemain import JDT, Fernando Martin Forestieri meledak hattrik pada minit ke-2, min-24 dan min-42, Safiq Rahim (min-7), Safawi Rashid (min-19), Mauricio Dos Santos (min-56), Moussa Sidibe (min-70), Daryl Sham K.K George (min-82), Mohamadou Sumareh (min-89) dan Muhammad Daniel Amier Norhishamn (min-90+3).

Iklan

BRM FC berpeluang untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan apabila menerima sepakan penalti setelah Mauricio Dos Santos mengasari Mohamad Shamil Zulkafli pada masa kecederaan.

Kesebelasan BRM FC yang diturunkan ketika menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad. - Foto FB BRM FC

Bagaimanapun sepakan penalti pemain gantian, Mohd Fitri Omar berjaya diselamatkan penjaga gol JDT, Muhammad Haziq Nadzli.

Pada perlawanan juga, BRM FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh 20 minit terakhir setelah Mohamad Haiqal Afendi Norizat Anuar diperintahkan keluar padang setelah dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-68.

Sementara itu kapten BRM FC Azmeer Yusoff berharap rakan-rakan sepasukan dapat melupakan kekalahan berkenaan dan sebaliknya memberikan fokus untuk beraksi dalam saingan Liga-M3 selepas ini.

Malah katanya, segala pengalaman yang diperolehi daripada perlawanan berkenaan diharap dapat digunakan bagi mengharungi aksi dalam saingan Liga-M3.

"Terlalu banyak pengalaman yang kami peroleh dan diharapkan ia dapat dimanfaatkan pemain selepas ini.

"Kalau nak kata dari segi performance, semua pemain dah berikan yang terbaik dan bermain bersungguh-sungguh, namun pengalaman nyata membezakan kami,” katanya.