Misi Climate Force 2041 (CF2041) berlepas ke Argentina

Iklan
Sharifah Mazlina bersama protegenya, Muhammad Khairul Akmal selepas sidang akhbar di lobi Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam Isnin.

SEPANG - Ikon Ratu Kutub Negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir dan protegenya, Muhammad Khairul Akmal Adam selamat berlepas ke Istanbul pada malam Isnin bagi menjayakan misi Climate Force 2041 (CF2041)’.

Difahamkan selepas transit di Istanbul, mereka akan meneruskan penerbangan ke Buenos Aires, Argentina sebelum memulakan misi pelayaran selama 12 hari bermula di daerah Ushuaia.

Iklan
Iklan

Sharifah Mazlina berkata, dia dan Khairul Akmal bersama 215 peserta dari 91 negara akan mengharungi ekspedisi itu yang memfokuskan kepada isu pemanasan global.

"Kami harap rakyat Malaysia dapat mendoakan keselamatan dan kejayaan misi ini kerana apa yang kami peroleh nanti amat penting sebagai rujukan dan penyelidikan negara pada masa akan datang,” katanya pada sidang akhbar di lobi Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam Isnin.

Iklan

Menurut Sharifah, menariknya ekspedisi kali ini ialah mereka bakal berpeluang melihat bongkah-bongkah ais di pesisiran pantai.

"Kalau dulu saya menjelajah di kawasan dalam Antartika, apa yang membuat saya teruja kali ini ialah kerana dapat pengalaman baharu meninjau kawasan pesisiran laut Antartika,” katanya.

Iklan

Sharifah berkata, rakyat Malaysia yang ingin mengikuti perkembangan pelayaran itu boleh terus ke www.aweta.org untuk mendapatkan maklumat.

"Kami akan cuba sedaya upaya menghantar imej walaupun dikhuatiri internet di sana agak terhad tetapi info, gambar Insya-ALLAH ada,” katanya

Sementara itu Muhammad Khairul, 20, berkata, dia bersyukur kerana terpilih menjadi salah seorang peserta pelayaran berkenaan.

Dia berkata, Antartika kini sedang mencair dan jika ia berterusan maka dunia bakal berdepan bencana alam teruk seperti tsunami, banjir dan banyak tempat rendah ditenggelami air.

"Pengalaman yang saya peroleh akan dikongsikan bersama seluruh rakyat Malaysia nanti,” ujarnya.