BEREGU lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara kejohanan badminton Terbuka Jerman 2022 di Muelheim pada awal pagi Isnin.
Tampil sebagai satu-satunya wakil Malaysia di pentas final, Sze Fei-Nur Izzuddin mengesahkan kejuaraan selepas menewaskan gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 23-21, 16-21, 21-14.
Kejayaan tersebut sudah pasti membakar semangat beregu muda negara itu yang kini menduduki ranking ke-17 dunia bagi menghadapi saingan Seluruh England 2022 bermula dari 16 hingga 20 Mac ini.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, kejayaan Sze Fei-Nur Izzuddin di Muelheim boleh dianggap tonik terbaik sebelum mereka membuka langkah di Birmingham.
"Sudah tentu kita sangat berbangga dengan kejayaan mereka memenangi Terbuka Jerman. Tetapi pada All England nanti, mereka pasti akan menerima tentangan hebat daripada beregu-beregu handalan dunia.
"Saya harap mereka terus tampil dengan aksi konsisten apabila bertanding di Birmingham. Jadikan kejayaan di Jerman itu sebagai pembakar semangat untuk terus mencipta kejayaan.
"Cuma saya tidak mahu mereka terbuai-buai dengan kejayaan menjuarai Terbuka Jerman itu sehingga alpa ketika turun beraksi pada All England,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Tanpa diletakkan harapan yang tinggi, Sze Fei-Nur Izzuddin mencipta sensasi dengan menjuarai Terbuka Jerman 2022 - gelaran pertama mereka sejak muncul naib juara Malaysia Masters 2017.
Kejayaan itu hampir pasti melayakkan Sze Fei-Nur Izzuddin mengisi skuad Piala Thomas di Bangkok Mei depan, malah lebih penting, meniupkan semangat mereka memburu pencapaian lebih besar di Birmingham.
Pada Seluruh England kali ini, Sze Fei-Nur Izzuddin dijadualkan berdepan beregu yang menghuni ranking ke-19 dunia dari China, He Ji Ting-Tan Qian.
"Jika Sze Fei-Nur Izzuddin mampu kekal dengan aksi terbaik yang dipamerkan sepanjang Terbuka Jerman minggu lalu, tidak mustahil mereka mampu mencipta kejutan pada All England nanti,” ujar Rexy.