"JADI tuan rumah tapi cara permainan sama seperti pada Kejuaraan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, tiada guna juga jadi tuan rumah.”
Itu nasihat penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli yang menyifatkan beraksi sebagai tuan rumah bukan lagi satu kelebihan buat Harimau Malaya dalam mengharungi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan Jun depan.
Sebaliknya, jelas Pekan, skuad kebangsaan yang mendapat sentuhan khidmat pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-gon itu perlu lebih bersedia dalam mempersiapkan diri mengharungi saingan kelayakan tersebut sama ada sebagai tuan rumah atau main di mana-mana sekalipun.
"Dalam situasi semasa, nasihat saya kepada skuad Harimau Malaya, lupakan soal jadi tuan rumah atau tak jadi tuan rumah, sebaliknya fokus kepada usaha untuk melakukan revamp prestasi Harimau Malaya dan kualiti permainan bermula dengan kelayakan Piala Asia supaya selepas ini apabila sumbang menari kita tidak lagi salahkan lantai, kononnya jongkang-jongket.
"Sekiranya hendak menang, tidak semestinya perlu menjadi tuan rumah, kalau tak pandai menari, jangan salahkan lantai jongkang-jongket. Untuk menjadi penari terbaik kita perlu mempelajari dan menguasai setiap seni tarian itu sendiri serta gerak tari dan irama, juga lagunya supaya tidak sumbang tarinya walaupun hebat guru tarinya.
"Percaya atau tidak, selama ini kita asyik menari dengan tarian sendiri, ramai nampak sumbang tapi kita tetap menari macam itu juga.
"Sekarang ni kita perlulah serasikan irama kita dengan kehadiran irama K-pop pula. Asas tarian kita kini kenalah absorb dengan rentak tarian K-pop yang lebih cergas dan pantas,” kata Pekan kepada Sukan Sinar baru-baru ini.
Untuk rekod, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini memilih Malaysia sebagai antara enam negara tuan rumah perlawanan Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan, sekali gus menyaksikan gelanggang keramat Harimau Malaya iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi gelanggang pertandingan.
Pada masa sama, Pekan turut mengingatkan fokus dan pemikiran dalam kalangan pemain juga berkemungkinan boleh terjejas apabila Malaysia berjaya mendapat hak menjadi tuan rumah, namun ditarik semula seandainya situasi semasa kes Covid-19 di negara ini mencatatkan peningkatan.
"Apabila berlaku situasi seperti ini, secara tidak langsung akan menjejaskan tumpuan dan motivasi dalam kalangan pemain negara yang pasti lebih yakin untuk bermain di depan penyokong sendiri.
"Jadi, saya amat menyokong nasihat Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahu skuad Harimau Malaya lebih bersedia beraksi di luar negara sekiranya keadaan memerlukan berdasarkan situasi semasa Covid-19.
"Yang penting adalah untuk berlatih bersungguh-sungguh dan mendapatkan semula kualiti sebenar permainan Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon. Itu yang paling penting sekali...
"Sejujurnya dalam tahap situasi sebenarnya Harimau Malaya sekarang, beraksi di mana-mana pun sudah tidak penting sebaliknya yang lebih penting ialah komuniti sukan bola sepak mahu melihat persembahan lebih berkualiti daripada skuad negara,” katanya.
Pada masa sama, Pekan juga tidak menafikan bahawa sememangnya menjadi tuan rumah memberikan kelebihan setiap negara bertanding kerana mendapat suntikan semangat daripada dalam kalangan penyokong sendiri.
"Saya faham, semua begitu teruja sebab sudah lama tidak layak ke pusingan akhir Piala Asia. Namun, harus diingat advantage ini boleh jadi disadvantage sekiranya para pemain negara itu sendiri berada dalam keadaan tertekan apabila beraksi di hadapan para penyokong sendiri.
"Yang penting adalah keazaman dalam kalangan pemain Harimau Malaya sebenarnya, sama ada mahu mempamerkan persembahan yang meyakinkan di depan para pemain ke-12 negara atau sebaliknya.
"Selama ini pun berapa banyak kejohanan temasya besar atau kelayakan yang skuad kebangsaan menang apabila beraksi di negara ini?
"Bagi saya, paling memberi impak kepada penyokong adalah ketika Malaysia menjadi tuan rumah Kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980, itu sahaja,” katanya.