PRU15: Rasional dalam membuat keputusan

Iklan
Foto hiasan 123RF

PENDEKATAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak terburu-buru mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sebalik desakan kelompok tertentu wajar diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak.

Seperti dinyatakan Ismail Sabri, keputusan untuk mengadakan PRU15 perlu dilakukan secara serius dalam parti dan perlu melibatkan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Iklan
Iklan

Selain pandangan Ismail Sabri itu, umum mengetahui bahawa keadaan ketika ini bukanlah waktu sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum kerana Malaysia masih berdepan dengan pelbagai impak akibat Covid-19.

Misalnya masalah kenaikan harga barang, inflasi, gaji minimum, pengangguran dan pelbagai isu luaran seperti perang Rusia-Ukraine yang memberi kesan kepada Malaysia - memerlukan sepenuhnya perhatian kerajaan berbanding fokus untuk mengadakan pilihan raya.

Iklan

Jika disenaraikan, banyak lagi isu yang masih tertangguh dan memerlukan penyelesaian kerajaan berbanding untuk mengadakan pilihan raya seperti ramai maklum bahawa ia melibatkan kos yang banyak.

Di samping itu, kerajaan ketika ini stabil disebabkan sokongan daripada pembangkang yang mahukan pimpinan kerajaan fokus untuk memulihkan negara daripada sudut kesihatan dan ekonomi setelah dibadai Covid-19.

Iklan

Malah, kumpulan penting yang sering dirujuk sebelum membuat sesuatu keputusan telah menyatakan pendirian bahawa pada ketika ini memang tidak sesuai diadakan PRU15.

Seperti dinyatakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, keadaan kesihatan awam perlu stabil sepenuhnya sebelum PRU15 dapat diadakan.

Kata Khairy, walaupun banyak sektor telah dibuka, namun ia bukan gambaran sebenar kita boleh buat apa yang kita suka termasuk mengadakan pilihan raya.

Pembukaan sempadan dan kelonggaran sekatan sebenarnya adalah untuk memberikan 'nafas' kepada ekonomi negara dan memberikan talian hayat kepada rakyat untuk meneruskan hidup.

Oleh itu, demi kebaikan bersama, maka bertindaklah dengan rasional agar kesannya tidak memudaratkan rakyat.