PAU 2021: Prestasi UMNO, BN, PRU15 dan MN dijangka jadi tumpuan

Iklan
PAU 2021

KUALA LUMPUR - Prestasi yang dilakar UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta hala tuju Muafakat Nasional (MN) yang dirintis bersama Pas, dijangka menjadi antara isu yang diangkat perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, yang membuka tirainya esok (Rabu).

Selain itu, perhimpunan berkenaan yang dilaksanakan sepenuhnya secara bersemuka turut menjadi platform terpenting parti politik terbesar Melayu itu untuk membincangkan dan mencatur strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Iklan
Iklan

Pertemuan tahunan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang akan dihadiri 5,571 perwakilan kali ini juga bakal menarik perhatian ramai pihak termasuk pemerhati politik yang menantikan apakah hala tuju direncanakan UMNO dalam mendepani cabaran politik semasa untuk terus kekal relevan.

Berdasarkan rekod prestasi cemerlang yang dicatatkan UMNO dan BN dalam dua siri Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Melaka dan Johor, isu pembubaran Parlimen bagi memberi laluan untuk PRU15 diadakan selain agenda memperkasakan anak muda untuk diketengahkan sebagai calon juga dijangka akan menjadi topik hangat yang akan disentuh oleh jurucakap-jurucakap yang mengambil bahagian.

Iklan

Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad (13 Mac) dilapor berkata, perhimpunan itu akan melihat hala tuju parti yang menjadi antara fokus utama yang akan dibincang dan diperincikan.

Ismail Sabri berkata, isu berkaitan MN juga berkemungkinan turut akan dibincangkan. Piagam MN dimeterai UMNO dan Pas pada 14 September 2019.

Iklan

Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berlangsung empat hari akan dimulakan dengan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka esok.

Ia disusuli dengan perhimpunan ketiga-tiga sayap itu pada Khamis.

Perhimpunan kemudian diteruskan dengan ucapan dasar dan perasmian oleh Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat dan diteruskan hingga Sabtu sebelum menutup tirai dengan penggulungan pemimpin parti.

Disember lepas, UMNO membuat keputusan untuk menangguhkan PAU 2021 yang sepatutnya berlangsung pada 13 hingga 15 Januari lepas.

Penangguhan tersebut susulan bencana banjir yang berlaku di banyak kawasan dan pimpinan UMNO akar umbi diminta membantu mangsa-mangsa banjir.

Pada perhimpunan kali ini, seramai 500 pengamal media termasuk 15 agensi berita antarabangsa akan membuat liputan. - Bernama