SHAH ALAM - Spekulasi siapa Menteri Besar Johor yang baharu bakal terjawab apabila individu tersebut dijangka mengangkat sumpah jawatan di Istana Johor pada Selasa.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menamakan satu calon untuk diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
"Di jangka sebentar lagi, Menteri Besar Johor akan mengangkat sumpah di Istana Johor.
"Pengerusi BN sudah pun menamakan satu calon untuk di perkenan pelantikan oleh DYMM Sultan Johor. Tahniah dan selamat menjalankan tugas,” ciapnya di Twitter pada Selasa.
Siapa calon Menteri Besar Johor daripada Barisan Nasional (BN) selepas gabungan itu menang majoriti Pilihan Raya Negeri (PRN) mencetuskan spekulasi.
Ia selepas Bekas Exco Belia, Sukan dan Pelancongan negeri itu, Datuk Onn Hafiz Ghazi disebut-sebut bakal menggantikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad.
Hasni pada Selasa mengeluarkan kenyataan mencadangkan pucuk kepimpinan parti memilih pemimpin muda bagi mentadbir kerajaan negeri Johor.
Hasni dalam kenyataan itu turut menegaskan pertimbangan itu dibuat beliau setelah mengambil kira kepentingan kepimpinan orang muda dalam pembangunan negeri Johor dan kemakmuran yang berkekalan.