PEP Guardiola mengakui bahawa para pemain Manchester City bergelut ketika menentang Crystal Palace dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Selhurst Park, yang menyaksikan kedua-dua pasukan buntu dalam pencarian pemenang.
Malah menurut Guardiola, The Citizens berjaya memberi saingan kepada skuad kendalian Patrick Vieira apabila menguasai permainan berkenaan, namun taktikal The Eagles menyaksikan The Citizens berputih mata untuk membawa pulang tiga mata.
"Ya, kami gagal menterjemah peluang dalam bentuk jaringan itu kesilapan pasukan dalam perlawanan ini biarpun setiap pemain beraksi pada tahap terbaik masing-masing.
"Nasib sebenarnya tidak wujud dalam bola sepak, sebaliknya kami perlu menjaringkan gol dan tidak melakukannya. Di Selhurst Park, kami bermain untuk menjaringkan gol dan mengelakkan bolos biarpun begitu hakikatnya kami bergelut.
"Sejujurnya para pemain City yang diturunkan bermain dengan baik, sebab itu saya tidak membuat sebarang perubahan. Kesilapan kami satu iaitu tidak menjaringkan gol, itu adalah kesilapan di Selhurst Park," katanya.
Tampil dengan misi melebarkan status, deretan percubaan anak didik Guardiola gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan pada perlawanan berintensiti tinggi tersebut.
Babak pertama bermula dengan percubaan Joao Cancelo yang sekadar menyingah tiang gol sebelum penyudah Kevin De Bruyne pada separuh masa kedua tersasar melabuh tirai perlawanan berdepan angkatan pimpinan Vieira itu.
Kebuntuan di laman The Eagles tersebut menyaksikan The Citizens kini mengekalkan status peneraju liga dengan 70 mata selepas mengharungi 29 perlawanan - lebih satu aksi berbanding Liverpool kedua yang mengumpul 66 mata.
Anak buah Jurgen Klopp berpeluang memberikan tekanan kepada Guardiola sekiranya berjaya mengatasi barisan angkatan muda Arsenal pimpinan Mikel Arteta di Stadium Emirates awal pagi Khamis.