IPOH - Bank Rakyat dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melancarkan kempen Ramadan dan Aidilfitri tahun ini bertemakan ‘Rindunya Ramadan’ dan ‘Rindu Nak Raya’ bermula pada 15 Mac hingga 31 Mei ini.
Konsep yang dipilih itu bertujuan menyemarakkan lagi semangat Keluarga Malaysia sempena bulan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.
Ketua Bahagian Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, selepas dua tahun bergelut dengan suasana tempoh kawalan pergerakan, kebanyakan rakyat berharap dapat menunaikan ibadah puasa tanpa sekatan, malah meraikan sambutan Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.
"Justeru, kedua-dua konsep ini amat bersesuaian dengan situasi Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
"Diharap ia dapat memberi manfaat di samping berkongsi kegembiraan bersama pelanggan termasuk masyarakat secara menyeluruh menerusi pelbagai inisiatif yang dirancang sepanjang bulan Ramadan dan Syawal,” katanya ketika sidang akhbar bersama media, pada Isnin.
Hadir sama Ketua Komunikasi Strategik Bank Rakyat, Nizam Abu Samah, Ketua Perbankan Konsumer Bank Rakyat, Fatayal Anshori, Ketua Pengurusan Kad dan Saluran Bank Rakyat, Firdaus Ahmad Faudzi dan Pengurus Pembangunan Perniagaan KTM Antarabandar dan ETS, Wan Mohamad Amin Wan Salim.
Menerusi inisiatif 'Rindunya Ramadan', pelbagai aktiviti Jangkauan Komuniti bakal dilaksanakan termasuk program mengimarahkan bulan Ramadan di saluran media, aktiviti gotong-royong seperti memasak dan mengedar bubur lambuk serta berbuka puasa di masjid dan surau.
Mengulas mengenai kempen ‘Rindu Nak Raya’ pula, Nizam berkata, pelanggan Bank Rakyat akan menikmati pelbagai promosi serta hadiah istimewa, antaranya pemegang Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Bank Rakyat yang membuat 200 transaksi terawal untuk pembayaran perkhidmatan pengangkutan akan mendapat pulangan tunai sebanyak RM100.
"Seramai 10 pelajar yang membeli tiket perjalanan menggunakan Kad Debit-i atau Kad Kredit-i Bank Rakyat juga berpeluang mendapatkan baucar KTM selama setahun bernilai RM1,000.
"Selain itu, pelanggan yang melakukan transaksi duit raya terbanyak menggunakan iRakyat turut berpeluang memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM29,000,” katanya.
Ditanya mengenai jalinan kerjasama antara Bank Rakyat dengan KTMB, Nizam berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama tersebut selepas sambutan Aidilfitri.
"Kami baru sahaja memulakan hubungan baik dengan KTMB dan hubungan ini menjadi hubungan yang membuahkan hasil. Dari segi produk yang kita boleh bekerjasama misalnya, akan ada kempen dalaman kakitangan yang sedang dalam perancangan.
"Tambahan pula, kempen ini juga akan dilanjutkan lagi apabila kita anjurkan bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk membawa pulang 100 pelajar asnaf ke kampung masing-masing,” katanya.
Sebelum ini, beberapa pengamal media turut diberi peluang menikmati sendiri suasana pulang ke kampung dengan menaiki tren elektrik ETS atau Electric Train System selama dua hari bermula dari KL Sentral ke Ipoh.