Orang awam dinasihati cakna amaran monsun

Iklan
Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihat supaya mengambil berat amaran yang dikeluarkan pihak berkaitan agar lebih bersedia menghadapi fasa peralihan monsun yang bermula semalam hingga pertengahan Mei depan bagi mengurangkan kesan bencana.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, berbeza dengan Monsun Timur Laut yang hujan berlaku dalam skala besar dan berlarutan untuk tempoh yang panjang, fasa peralihan monsun dicirikan dengan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang berlaku dalam tempoh singkat kebiasaannya satu hingga tiga jam.

Iklan
Iklan

"Kalau kita lihat Monsun Timur Laut ini episod hujannya berpanjangan dan biasa kita beri amaran lebih awal dua atau tiga hari sebelum berlaku banjir sebab taburan hujan yang boleh kita cerap.

"Bagi fasa peralihan monsun, hujan berlaku di tempat tertentu maka risiko banjir kilat akan berlaku. Hujan ini bila turun merata lebih ringan berbanding bila turun setempat," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) yang ingin tahu perbezaan hujan dan kesan bencana ketika Monsun Timur Laut berbanding fasa peralihan monsun serta langkah kerajaan dalam menghadapinya.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya mengadakan kerjasama baik dengan pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) selain mengadakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Angkatan Tentera Malaysia dalam menangani bencana di negara ini.

Iklan

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut mengadakan perundingan untuk menyampaikan maklumat segera melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) supaya amaran dapat disalurkan kepada orang ramai.

"Apa yang penting kita juga harus mengambil berat dengan amaran-amaran ini supaya kita lebih bersedia. Insya-Allah pelbagai pihak yang telahpun bersama-sama ini kita harapkan kesan bencana dapat kita minimumkan," katanya. - Bernama