Tokan syabu diberkas, dadah bernilai RM1.95 juta dirampas

Iklan
Ahmad Jefferi menunjukkan antara dadah yang dirampas menerusi tangkapan dan serbuan di Bandar Saujana Putra pada Khamis.

SHAH ALAM - Kelicikan dua beranak menjalankan aktiviti mengedar dadah sejak awal Januari lalu akhirnya tumpas apabila kedua-dua suspek diberkas dalam satu serbuan di Bandar Saujana Putra, Jenjarom Kuala Langat pada Khamis.

Serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor itu juga berjaya merampas 53 bungkusan teh dipercayai berisi dadah jenis syabu bernilai RM1.95 juta di sebuah rumah teres dua tingkat yang dijadikan stor simpanan bahan terlarang terbabit.

Iklan
Iklan

Ketua JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, dua beranak itu merupakan seorang bapa dan anak lelakinya dan kedua-duanya diberkas di tempat letak kereta di Bandar Saujana Putra.

"Serbuan dijalankan pada jam 4.50 petang memberkas dua suspek terdiri daripada seorang warga tempatan dan seorang warga Thailand masing-masing berumur 26 dan 49 tahun.

Iklan

"Pemeriksaan yang dijalankan terhadap sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner yang dinaiki suspek menemukan polis dengan satu kotak berisi 10 bungkusan plastik teh mengandungi dadah jenis syabu seberat 10.2 kilogram," katanya dalam sidang media di IPK Selangor pada Selasa.

Beliau berkata, tangkapan yang dijalankan ke atas kedua suspek kemudian membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Saujana Putra kira-kira jam 6.20 petang.

Iklan

"Pemeriksaan dijalankan menemukan dua kotak berisi 43 bungkusan teh dipercayai turut mengandungi dadah jenis syabu seberat 43.86 kilogram.

"Siasatan mendapati rumah teres berkenaan disewa untuk dijadikan lokasi penyimpanan dadah tersebut," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati kedua suspek menetap di Kelantan dan menjalankan perniagaan menjual barangan mainan.

"Siasatan awal mendapati kesemua dadah yang dirampas ini dipercayai dari negara jiran untuk pengedaran di Selangor.

"Kedua suspek dipercayai telah menyewa sebuah inap desa di negeri ini untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah," katanya.

Tambahnya, semakan mendapati seorang suspek memiliki rekod kesalahan lampau.

"Semakan mendapati suspek berumur 26 tahun tersebut memiliki rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 manakala bapanya tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

"Ujian saringan yang dijalankan mendapati kedua suspek negatif dadah," katanya.

Ahmad Jefferi berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari dibawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.