‘MTUC berfungsi seperti biasa'

Iklan

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan menjalankan peranan dan fungsinya seperti biasa walaupun kemelut pemilihan presiden belum dapat diputuskan.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor memaklumkan, kekosongan jawatan itu bermula apabila calon presiden mendapat undian seri semasa pemilihan pegawai MTUC pada September 2020.

Iklan
Iklan

"Perlembagaan MTUC tidak menyatakan kaedah bagi menyelesaikan isu calon presiden kerana perkara ini adalah di luar jangkaan kepimpinan dan tidak pernah berlaku sepanjang 70 tahun sejarah MTUC.

"Berdasarkan perlembagaan MTUC, mesyuarat Majlis Am adalah kuasa tertinggi untuk membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Tambahnya, Majlis Am akan membuat keputusan berkaitan dengan kosongan presiden berdasarkan kepada perlembagaan MTUC bagi mengelakkan konflik berpanjangan.

"Mesyuarat Majlis Am telah dijadualkan semula pada 20 Mac 2022 setelah mesyuarat yang sepatutnya diadakan pada Disember 2021 ditangguhkan.

Iklan

"MTUC akan membincangkan status presiden dan segala persoalan mengenai jawatan itu pada mesyuarat Majlis Am pada 20 Mac 2022,” jelasnya.

Kamarul Baharin menegaskan, sehingga tarikh mesyuarat Majlis Am diadakan, semua pandangan dan kenyataan daripada mana-mana pihak atau individu adalah berasaskan kepada andaian dan kemungkinan sahaja.

"MTUC akan memainkan peranan seperti biasa sepertimana ketiadaan presiden selama 30 bulan yang lalu. Aktiviti dan program akan bergerak untuk kepentingan seluruh kaum pekerja di Malaysia.

"MTUC akan mengeluarkan kenyataan rasmi setelah selesai mesyuarat Majlis Am dan diputuskan status presiden, katanya.