Kempen Beli Barangan Malaysia dipertingkat

Iklan
Ismainur menunjukkan antara produk buatan Malaysia

PUTRAJAYA - Momentum Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang diwujudkan bagi menggalakkan pembelian barangan buatan tempatan sebelum ini, akan dipertingkatkan sekali gus membantu pengusaha tempatan terutama industri kecil dan sederhana (IKS) dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Langkah itu penting memandangkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan memainkan peranan penting dalam ekonomi negara dan dijangka bakal menyumbang 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2020.

Iklan
Iklan

Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Ismainur Hadi Amat Bakeron berkata, kempen itu juga akan terus memainkan peranannya untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat terhadap barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia.

"Kempen ini juga bagi merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan (domestic consumption) dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kualiti produk serta perkhidmatan buatan Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Iklan

"Ia juga membantu pengusaha tempatan dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Bagi menyokong kejayaan kempen tersebut jelas Ismainur Hadi, pelbagai kaedah promosi telah digunakan ke arah itu iaitu pada permulaannya, fokus utama adalah melalui penganjuran ekspo.

Iklan

Menurutnya, pendekatan sebegini amatlah bertepatan kerana ekspo berupaya mempersembahkan produk buatan Malaysia untuk diamati dan dinilai oleh pengguna.

"Ekspo juga membolehkan interaksi dua hala di antara pengguna dan penjual serta bertindak sebagai medan produk trial bagi pengguna. Dengan itu, resapan kesedaran dan impak kempen ini dalam kalangan pengguna lebih berkesan.

"Mulai tahun 2010, pengiklanan di media elektronik dan media cetak juga telah dilaksanakan. Kaedah sebegini dapat melebarkan jangkauan pelanggan dan dengan gabungan ekspo dan pengiklanan, keberkesanan kempen ini dijangka akan lebih inklusif dan terserlah,” katanya.

KBBM pada tahun-tahun sebelum ini tambahnya, dilaksanakan sama ada secara berasingan atau secara gabungan dengan mana-mana program mengikut bersesuaian dan pada 2016 dan 2017, KBBM telah dilaksanakan secara bersepadu dengan program-program berimpak tinggi lain di bawah kementerian.

"Program-program berimpak tinggi itu adalah seperti sambutan Hari Francais, Hari Penjaja Kebangsaan, Hari Pengguna Kebangsaan, program Jualan Terus dari Kilang dan program Jom Beli Barang Raya,” katanya.

Katanya, KBBM bukanlah satu langkah baharu kerana ia telah dilancarkan seawal tahun 1984 dengan dikenali sebagai Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia.

Pada tahun 2009, tambahnya, selaras krisis kewangan global yang meruncing, kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah melancarkan semula program tersebut dan dijenamakan semula sebagai KBBM.

"Kempen berkenaan bertujuan untuk menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia dan membantu pengusaha tempatan dalam menghadapi pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan selain menjadikannya satu usaha berterusan untuk mempromosikan barangan tempatan,” katanya.