KOTA BHARU – Masyarakat disarankan tampil menderma darah secara berkala bagi membantu keperluan beberapa buah hospital utama di negeri ini.
Penyelaras Tabung Darah Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan, Wan Abdul Rahman Wan Yusoff berkata, langkah itu penting untuk memastikan tabung darah sentiasa mencukupi, tambahan lagi untuk persediaan musim perayaan dan sebagainya.
"Sekarang ini kita perlu bantu tabung darah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Saya difahamkan mereka memerlukan darah untuk pesakit kritikal dan juga pesakit Covid-19.
"Kita akan giatkan lagi kempen dari semasa ke semasa untuk memastikan tabung di hospital-hospital utama mencukupi untuk digunakan dalam waktu terdesak,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Menurutnya, orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan jadual semasa program derma darah yang diadakan di seluruh kawasan, hampir setiap minggu.
Katanya, dengan cara tersebut, orang ramai lebih mudah lagi untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing tanpa memerlukan mereka hadir ke hospital untuk menderma darah.
"Banyak program yang kita laksanakan di setiap daerah. Kita sediakan tempat dan masa yang bersesuaian bagi memastikan orang ramai tidak terikat dengan masa dan lokasi.
"Sebagai contohnya, 17 Mac ini kita adakan program derma darah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Tumpat di Pejabat Kemas Tumpat, bermula jam 9 hingga 12 tengah hari.
"Kemudiannya diadakan ceramah ‘Kenali Ubat Anda’ di lokasi yang sama. Kita berharap masyarakat setempat bolehlah luangkan masa untuk kita bantu tabung-tabung darah ini.
"Jika tidak mampu menolong melalui wang, maka gunalah kudrat lain yang ALLAH berikan untuk kita membantu orang yang memerlukan,” katanya.