Kafe bas usang jadi lokasi pembuangan sampah

Iklan
Mohd Yusof menunjukkan salah sebuah bas lama yang tidak lagi digunakan dan menjadi tempat pembuangan sampah.

MELAKA - Deretan bas lama yang menjadi kafe dan hotel di Pantai Klebang di sini, kini hanya tinggal nama selepas keadaan bas terpakai itu tidak lagi dimanfaatkan dan mencacatkan pemandangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang, Datuk Mohd Yusof Abu berkata, malah kawasan yang tidak lagi diselia itu turut menjadi sarang penagih dadah dan sarang maksiat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, merugikan apabila struktur bas lama menawarkan perkhidmatan kafe dan hotel unik serta menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara itu tidak berpanjangan setelah diwujudkan pada tahun 2012.

Katanya, kawasan berkenaan perlu diselenggara dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk menyediakan garis panduan yang lebih efektif kepada golongan peniaga.

Iklan

"Kerana tidak ada penguatkuasaan PBT dan ditambah perasaan tamak peniaga nak besarkan perniagaan akhirnya khemah jadi tempat berniaga dan bas pula dijadikan stor.

"Sedangkan hasrat kepimpinan ketika itu mahu melihat bas lama ini menjadi tarikan pelancong, namun akhirnya jadi tempat pembuangan sampah," katanya ketika ditemui di Pantai Klebang di sini pada Selasa.

Iklan

Peniaga, Nurul Huda Ahmad, bersetuju sekiranya bas lama terbabit dilupuskan kerana keadaannya usang dan tidak sesuai lagi menjadi tarikan.

Menurutnya, biarpun pada permulaannya ramai yang ingin mencuba makan dalam bas namun keadaan tempat yang sempit dan panas kurang memberi keselesaan kepada pelanggan.

"Saya juga pernah mengalami kecederaan ketika berniaga dalam 'kafe bas' itu selepas penyedut asap jatuh dan terkena tangan saya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Dataran 1Malaysia, Hisham Husin berkata, apa yang diharapkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dapat membangunkan sebuah tapak perniagaan baharu yang lebih teratur dan tersusun.

Menurutnya, memandangkan kawasan itu berada di persisiran pantai maka perlu dibangunkan tapak perniagaan yang lebih kukuh sekali gus menyelamatkan peniaga dari terus menjadi mangsa ribut.

"Adalah lebih baik jika satu tapak perniagaan yang lebih kukuh dapat dibangunkan kerana peniaga juga tidak sanggup menanggung kerugian disebabkan khemah rosak dilanda ribut," katanya.