JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi menghargai pengorbanan Pengerusi UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Hasni Mohammad yang memberi peluang kepada orang muda memimpin Johor.
Onn Hafiz menyifatkan bekas Menteri Besar Johor itu sebagai negarawan kerana yakin dengan peranan dan kemampuan orang muda mengemudi negeri.
"Pengorbanan yang dilakukan Hasni untuk memberi ruang kepada orang muda bagi memimpin Johor sesungguhnya bukan sahaja menunjukkan betapa besarnya hati dan jiwa negarawan beliau.
"Ia membuktikan bahawa beliau meyakini peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi Johor," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya pada Selasa.
Onn Hafiz yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berkata, gabungan pemimpin berpengalaman dan muda akan memperkukuhkan Johor.
"InsyaALLAH, saya akan sentiasa memohon khidmat nasihat daripada beliau (Hasni Mohammad) yang jauh lebih berpengalaman daripada saya.
"Semoga gabungan orang yang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun dan memperkukuhkan negeri ini agar terus disegani dan melangkah lebih jauh lagi," katanya.
Beliau turut berikrar untuk berusaha menunaikan janji BN sebaik mungkin.
"Saya memohon semua Bangsa Johor tidak kira bangsa, agama dan latar belakang untuk bersama dengan saya - bersatu hati, minda dan tenaga untuk terus membangunkan negeri yang kita cintai ini," katanya.
Onn Hafiz Ghazi, 43, yang juga cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang baharu pada Selasa.
Bekas Exco Pelancongan, Belia Dan Sukan Johor itu mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene.