KUALA LUMPUR - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan untuk melaksanakan proses ‘uji dan lepas’ penumpang yang tiba di bawah kemudahan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara bermula Rabu.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, menerusi langkah penambahbaikan itu, penumpang terbabit tidak lagi perlu menunggu keputusan saringan RT-PCR COVID-19 mereka di lapangan terbang.
Iklan
Iklan
"Mereka sebaliknya boleh beredar segera dengan menggunakan khidmat pengangkutan persendirian, teksi atau kereta sewa dari lapangan terbang ke lokasi penginapan yang telah diisytiharkan dalam Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) MySejahtera, sejurus mendapat pelepasan imigresen.
"Ini akan memberi lebih banyak fleksibiliti dan keselesaan kepada pengembara VTL sementara menunggu keputusan ujian masing-masing yang diperoleh dalam tempoh 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengendali lapangan terbang itu berkata, sebaik saja keputusan itu negatif, status HSO dalam MySejahtera itu akan diubah oleh pihak berkuasa.
Menurut MAHB, selain membolehkan para penumpang menikmati proses pelepasan di lapangan terbang dengan lebih pantas, langkah terbaharu itu juga dijangka dapat meminimumkan kesesakan di pintu masuk berkenaan susulan pelaksanaan pelbagai program VTL udara.
VTL udara bagi Kemboja dan Thailand bermula pada Selasa manakala program sama bagi Singapura akan diperluaskan dengan meliputi destinasi baharu Pulau Pinang bermula Rabu. -Bernama