Program jualan Keluarga Malaysia catat jualan RM388,000 di Melaka

Iklan
Hebahan dan promosi berkaitan PJKM dipergiatkan dari masa ke masa bagi memastikan lebih ramai pengguna dapat menikmati tawaran yang disediakan.

MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka telah menganjurkan 25 Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di sekitar negeri itu dengan kutipan jualan kira-kira RM388,000 dalam tempoh 15 Januari hingga 13 Mac lalu.

Exco Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, ia dianjurkan setiap dua minggu sekali di enam lokasi secara serentak melibatkan enam Parlimen di negeri berkenaan.

Iklan
Iklan

"PJKM dianjurkan selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad di setiap lokasi terlibat bertujuan menawarkan barangan keperluan seperti telur, ikan dan ayam pada harga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran, sekali gus mengurangkan beban sara hidup rakyat.

"Secara keseluruhan PJKM mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk tempatan terutama di kawasan perumahan dan nilai jualan dalam dua hari penganjurannya seperti di Taman Melaka Perdana mencecah RM60,000,” katanya pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, lebih 15 pasar raya, pemborong, penternak, pengusaha industri kecil dan sederhana serta agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), menyertai program jualan tersebut.

Katanya, penganjuran PJKM akan diteruskan sepanjang tahun ini dan kawasan perumahan menjadi fokus utama, memandangkan sambutan menggalakkan diterima sepanjang penganjuran program itu sebelum ini ekoran kepadatan penduduk di kawasan terlibat.

Iklan

Hee Sem berkata, KPDNHEP juga bersedia menganjurkan program berkenaan di lokasi yang pernah dianjurkan sebelum ini, sekiranya terdapat permintaan daripada penduduk setempat, persatuan penduduk atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Beliau berkata, hebahan dan promosi berkaitan PJKM juga akan dipergiatkan dari masa ke masa bagi memastikan penganjuran program itu diketahui penduduk setempat agar lebih ramai pengguna dapat menikmati tawaran yang disediakan.

"Penganjuran PJKM perlu dihebahkan secara efektif kerana terdapat lokasi yang dianjurkan sebelum ini, penduduk setempat tidak tahu tentang program ini dan ia secara tidak langsung memberi kesan pada kutipan jualan,” katanya. - Bernama