Keluarga kecewa, dakwa hospital jaga Jahidah ala kadar

Iklan
Fauziah menunjukkan kudis di kaki Jahidah.

SEREMBAN - Keluarga kepada wanita yang koma akibat dipukul suami, Jahidah Nordin, 43, mendakwa wanita terbabit tidak dijaga dengan baik sepanjang dirawat di sebuah hospital di sini sejak sebulan lalu.

Adiknya, Fauziah Nordin, 40, berkata, keadaan Jahidah yang dibenarkan keluar hospital Jumaat lalu bukan saja kelihatan kurus berbanding sebelum ini, malah luka 'bedsore' di belakang badannya semakin teruk.

Iklan
Iklan

"Saya sendiri hampir tak kenal kakak kerana sebelum ini fizikalnya berisi dan luka di belakang badannya sudah pulih, tetapi saya tengok keadaan dia seperti 'terbiar'.

"Kedua-dua kaki kakak juga berkudis yang saya tak tahu macam mana ia boleh berlaku dan bila saya persoalkan, doktor beri alasan ia tidak dapat dielakkan untuk pesakit terlantar sepertinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Sri Sendayan di sini pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, bukan mahu menuduh pihak hospital mengabaikan pesakit seperti Jahidah kerana ketika kakaknya ditahan di wad bersalin sebelum ini, isu begitu tidak timbul.

Ujarnya, meskipun Jahidah koma, tidak sepatutnya dia dijaga ala kadar sahaja.

Iklan

"Kalaulah kakak boleh bercakap, dah tentu dia beritahu sakitnya dia sekarang.

"Kenapa ketika di wad bersalin dulu dia boleh dijaga dengan baik dan kenapa di wad biasa ini tidak. Oklah, saya boleh terima kalau alasan kakak terbaring lama menyebabkan luka belakang badannya teruk, tapi macam mana pula luka di kaki?" katanya.

Jelasnya, pihak doktor yang bertugas telah pun memohon maaf, namun melihat keadaan Jahidah sekarang membuatkan dia trauma untuk menghantar kakaknya lagi ke situ.

Fauziah menunjukkan gambar luka belakang badan Jahidah yang sebesar tapak tangan

Selain itu katanya, bagi mengelakkan keadaan luka di bahagian belakang Jahidah bertambah teruk, dia mengupah seorang bekas jururawat untuk menjaganya.

"Saya bukannya tak boleh cuci sendiri, tapi luka kakak itu sangat dalam sehingga menampakkan tulangnya.

"Anggaran kos untuk membersihkan luka kakak saja RM3,000 sebulan dan saya diberitahu yang ia akan mengambil masa untuk sembuh," katanya.

Sementara itu, berkenaan keadaan kesihatan Jahidah, Fauziah berkata, doktor memberitahu yang jantungnya berisiko untuk berhenti.

Jelas Fauziah, tidak pasti sampai bila Jahidah mampu bertahan, namun selagi mempunyai kudrat, dia akan menjaga kakaknya sebaik mungkin.

Untuk rekod, pada 21 Januari lalu Jahidah dikejarkan ke hospital dengan ambulans selepas tahap kesihatannya dilaporkan tidak stabil akibat demam, muntah dan nafasnya turun naik.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.

Bagaimanapun pada 17 Jun 2021, suaminya, Rosmaini Abd Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma.

Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki J Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021.