Perang Rusia-Ukraine tamat Mei depan?

Iklan
Anggota bomba memadamkan kebakaran di blok penempatan setinggi 16 tingkat di Kiev yang dibedil pada awal pagi Selasa. - Foto AFP

KIEV - Peperangan ini mungkin akan tamat pada awal Mei depan apabila Rusia kehabisan sumber untuk meneruskan kempen serangan ke atas Ukraine yang kini memasuki minggu ketiga.

Waktu jangkaan itu dinyatakan penasihat kepada ketua turus Presiden Ukraine pada lewat Isnin selepas Moscow kini berterusan meningkatkan kempen serangan mereka ke atas bandar utama termasuk ibu kota Kiev yang dikepung sejak minggu lalu.

Iklan
Iklan

"Ketika ini, kita berada di persimpangan jalan sama ada mencapai perjanjian damai dalam tempoh terdekat dengan pengunduran tentera Rusia atau berdepan senario ‘lebih dahsyat’ yang menyaksikan Kremlin mengerahkan pasukan tentera baharu untuk menyertai operasi ketenteraan tersebut.

"Saya berpendapat kita akan mencapai kesepakatan selewat-lewatnya dalam tempoh dua bulan akan datang atau mungkin lebih awal,” kata Oleksiy Arestovich yang tidak terlibat sesi dialog tersebut.

Iklan

Menurutnya, pertempuran pada skala kecil masih boleh berlarutan selama setahun walaupun perjanjian damai untuk meredakan konflik tersebut telah dicapai.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertahanan Britain menerusi Twitter mendakwa Moscow merancang untuk menggunakan senjata biologi atau kimia di Kiev bagi melancarkan serangan palsu ke atas tentera Rusia.

Iklan

"Pelan jahat mereka mahu menjadikan rakyat Ukraine sebagai ‘kambing hitam’ di bawah operasi tersebut,” ujarnya.

Pada Jumaat lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan tiada bukti menunjukkan Kiev mempunyai program senjata biologi ketika Barat menuduh Rusia sengaja membuat tuduhan tidak berasas seperti itu yang mungkin sebagai permulaan untuk Moscow melancarkan serangan menggunakan senjata berbahaya tersebut. - Agensi


Info

Ukraine dakwa lebih 13,500 tentera Rusia terkorban sejak kempen pencerobohan bermula pada 24 Februari lalu.

Sebanyak 404 kereta kebal, 1,279 kenderaan perisai, 81 pesawat dan 95 helikopter milik Moscow juga berjaya dimusnahkan.

Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko mengumumkan perintah berkurung selama 36 jam bermula jam 8 malam (waktu tempatan) pada Selasa hingga 7 pagi pada Khamis.

Kesatuan Eropah (EU) menerima pakai sekatan pusingan keempat ke atas Rusia yang melarang eksport barangan mewah dan import produk keluli serta menyasarkan oligarki baharu.