MRT3 lengkapkan rangkaian transit bersepadu Lembah Klang

Iklan
Ka Siong

KUALA LUMPUR - Projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 3 (MRT3) adalah laluan amat penting untuk melengkapkan Rangkaian Transit Bersepadu Lembah Klang, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, keseluruhan jajaran MRT3 yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2030 itu akan meningkatkan kesalinghubungan melalui 10 stesen pertukaran dengan lapan laluan rel transit sedia ada.

Iklan
Iklan

Menurutnya, MRT3 juga akan memperluas rangkaian liputan pengangkutan awam di Lembah Klang dan akan memberi akses ke rel transit bagi komuniti yang pada masa ini tidak atau kurang mendapat perkhidmatan pengangkutan awam.

"Sebagai contoh kesalinghubungan baik adalah di Stesen Titiwangsa, yang menjadi hab pengangkutan awam efisien. Apa yang menarik adalah stesen ini akan menjadi stesen pertukaran untuk lima laluan rel transit iaitu MRT3, MRT Putrajaya, LRT Ampang, LRT Sri Petaling dan Monorel KL.

Iklan

"Sebuah hab pengangkutan bas bandar juga akan dibina di Titiwangsa dan ini meningkatkan lagi kesalinghubungan pelbagai mod pengangkutan untuk kemudahan pengguna,” katanya pada sidang akhbar MRT3 di sini pada Selasa,

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim.

Iklan

Sebelum itu, di Dewan Rakyat pada Selasa, Ka Siong berkata, MRT3 adalah sebuah lingkaran sepanjang 51 kilometer (km) dengan 39km terletak di Kuala Lumpur dan 12km di Selangor serta merentasi rangkaian rel sedia ada.

Mesyuarat jemaah menteri pada 4 Mac lalu meluluskan pelaksanaan projek MRT3 yang bertujuan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang, dengan menyediakan perkhidmatan bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia.

Projek MRT3 sebelum ini ditangguhkan di bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelum kabinet di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju untuk meneruskan projek itu tahun lepas.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, projek MRT3 akan dilaksanakan dengan kaedah 'turnkey contract' dengan empat pakej itu dianugerahkan untuk kerja pembinaan, dua pakej kerja bertingkat, satu pakej kerja bawah tanah dan satu pakej kerja sistem.

"Aktiviti pembinaan akan dipantau secara langsung oleh MRT Corp sebagai pemaju projek dan dibantu oleh Perunding Pengurusan Projek (PMC),” katanya sambil menambah proses tender bermula Mei ini dan tender kerja pembinaan dijangka dapat dianugerahkan pada suku keempat tahun ini.

Sementara itu, Mohd Zarif berkata, kos pembinaan MRT3 dianggarkan sama dengan Laluan MRT Putrajaya iaitu sekitar RM31 bilion dan kos pembinaan sebenar hanya dapat diketahui selepas tender terbuka selesai. - Bernama