SEGAMAT - Seorang remaja lelaki lemas dipercayai terjatuh ketika memancing di Sungai Kapeh di sini pada Selasa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada jam 4.34 petang.
Susulan itu katanya, seramai 17 anggota, dua jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu utiliti van dikejarkan ke tempat kejadian.
"Pihak bomba menggunakan teknik pencarian dasar (surface searching) sebelum menemui mangsa, L Roopan, 17, pada jam 5.35 petang pada jarak kira-kira 2.1 meter dari tebing di mana lokasi mangsa dilaporkan jatuh.
"Sungai tersebut berkedalaman lebih kurang 2.4 meter. Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 6.02 petang.