SHAH ALAM - Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dipilih sebagai Naib Pengerusi Kesatuan Ahli-Ahli Parlimen Negara-Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (PUIC) mewakili kumpulan Asia.
Shamsul Iskandar berkata, beliau yang mewakili Parlimen Malaysia telah dipilih menerusi mesyuarat PUIC kali ke- 47 yang berlangsung selama dua hari di Algeria berakhir Isnin.
Menurutnya, beberapa perkara turut dibangkitkan menerusi mesyuarat berkenaan antaranya krisis kemanusiaan dan pembantaian umat Islam Rohingya di mana pentingnya ahli-ahli Parlimen Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bersatu untuk bertindak dengan segera.
"Selain itu turut dibangkitkan adalah pemerkasaan ekonomi dalam kalangan negara-negara OIC khususnya merancakkan lagi hubungan dua hala di kala dunia sedang berdepan dengan cabaran ekonomi selepas pandemik Covid-19 dan juga pencerobohan Rusia terhadap Ukraine.
"Serta, keperluan mendesak untuk memulakan diplomasi budaya di peringkat ahli-ahli parlimen OIC untuk ummah saling memahami di antara satu sama lain di dalam ikhtiar bersama mengangkat nilai-nilai Islam dan melawan keganasan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada masa sama, beliau turut menyokong cadangan ahli-ahli Parlimen Turki yang telah memulakan inisiatif di bawah PUIC bagi menghulurkan bantuan dan tindakan segera kepada umat Islam yang menjadi kumpulan minoriti di negara-negara yang bukan OIC.
"Mereka bukan sahaja berdepan dengan cabaran dicabuli hak asasi mereka malah terpaksa berdepan dengan serangan masyarakat yang masih lagi terbelenggu dengan Islamophobia.
"Mesyuarat dua hari ini diakhiri dengan Deklarasi Algiers yang telah dipersetujui secara muafakat oleh ahli-ahli Parlimen negara-negara OIC yang hadir,” katanya.