SUNGAI PETANI - Pengendali Pusat Jagaan Anak-anak Cahaya Amal Bistari dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani atas pertuduhan mengendali pusat berkenaan tanpa berdaftar.
Bagaimanapun, Zainal Abidin Abu Samah, 56, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan pertama, Zainal Abidin didapati mengambil bahagian dalam pengurusan pusat jagaan di Taman Pekan Baru itu pada jam 4.23 petang, 12 September 2018.
Dia turut didakwa melakukan kesalahan sama di Bandar Laguna Merbok pada jam 3.18 petang pada 13 September 2018.
Bagi kedua-dua pertuduhan dia didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993 dan boleh dihukum bawah Seksyen 5(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 25 April 2019 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen terhadap kes tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Takiyuddin Hassan.
Kes berkenaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mohd Firzami Idris dan Nursuriyani Mohd Noor
Pada 17 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh melalui sidang media mengarahkan sebuah pusat jagaan di Sungai Petani diarahkan ditutup kerana beroperasi tanpa kebenaran.
Notis pengosongan diserahkan pada 11 dan 18 Mac lalu dalam operasi menyita premis pusat jagaan berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Premis disita, pengusaha pusat jagaan akan didakwa