SHAH ALAM - Pada Selasa, terjawab teka teki siapa Menteri Besar (MB) Johor ke-19 apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi sah mengangkat sumpah.
Onn Hafiz yang juga bekas Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene.
Hari ini tumpuan dijangka beralih ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang berlangsung empat hari sehingga Sabtu.
Ia akan dimulakan dengan Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada jam 8 malam bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, perwakilan UMNO Johor dilapor tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang perbahasan yang bakal berlangsung sepanjang PAU 2021 didakwa susulan tidak bersetuju dengan pelantikan Menteri Besar Johor yang baru.
Menurut sumber dilaporkan Bernama, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad bagaimanapun telah meminta agar ahli UMNO tidak memanjangkan isu berkenaan.
Laporan berkenaan juga berkata, Hasni juga mahu menghalang usaha segelintir perwakilan UMNO Johor yang mahu menolak pelantikan Onn Hafiz sebagai Menteri Besar Johor ke-19.
Ini kerana pemimpin-pemimpin UMNO Johor termasuk ketua-ketua bahagian menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Hasni susulan bekas Menteri Besar Johor itu telah dinamakan sebagai calon tunggal menteri besar oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sejauh mana perkara ini akan memberi kesan terhadap penglibatan UMNO Johor pada PAU 2021 hanya akan terjawab dalam tempoh empat hari bermula hari ini.