Nelayan Vietnam didakwa ambil penyu di perairan negara

Iklan
Seramai 17 nelayan Vietnam ditahan bahagian Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Negeri Terengganu pada jarak 60.1 batu nautika dari Kuala Kemaman,11 Disember tahun lalu.

KEMAMAN - Seramai 17 nelayan Vietnam mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dakwaan mengambil penyu di perairan negara pada 11 Disember tahun lalu.

Tertuduh terdiri daripada seorang tekong dan 16 krew bot didakwa di bawah seksyen 27 Akta Perikanan 1985 kerana mengambil penyu di perairan perikanan Malaysia.

Iklan
Iklan

Kesemua tertuduh berdepan tiga lagi dakwaan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan dalam perairan perikanan Malaysia tanpa permit; Seksyen 29 Akta Perikanan 1985 kerana memusnahkan peralatan menangkap ikan dan Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 iaitu gagal memaklumkan pihak berkuasa setelah memasuki perairan perikanan Malaysia.

Hakim Wan Suhaila Mohd memerintahkan tekong bot didenda sehingga RM600,000 atau penjara enam bulan, manakala krew bot didenda RM300,000 setiap seorang atau dipenjara tiga bulan.

Iklan

Sementara itu, di mahkamah sama, dua tekong dan 21 krew nelayan Vietnam mengaku salah atas dua pertuduhan ketika dihadapkan ke mahkamah pada Isnin.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dalam perairan perikanan Malaysia tanpa permit dan Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 kerana menangkap ikan menggunakan pukat tunda dua bot.

Iklan

Mahkamah memutuskan tekong bot di denda sehingga RM600,000 atau penjara enam bulan, manakala krew bot didenda RM300,000 setiap seorang atau dipenjara tiga bulan.

Kesemua 40 tertuduh tidak membayar denda dan dipenjara manakala kesemua barang kes termasuk tiga bot serta wang lelong ikan bernilai RM5,000 dilucut hak.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perikanan Malaysia, Abdul Halim Jaffar dan Mohamad Akram Sallehudin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Suhaimi Ismail.

Kesemua 40 nelayan asing itu ditangkap Unit Perlindungan Sumber, Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu pada jarak 70 dan 60.1 batu nautika dari Kuala Kemaman pada 13 Ogos dan 11 Disember tahun lalu.