Polis lengkapkan kertas siasatan kes penyelia kedai buku dibakar

Iklan
Laporan Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes seorang penyelia kedai buku dibunuh dan dibakar di dalam bengkel kemahiran hidup di sebuah sekolah di Bandar Tun Razak di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kertas siasatan itu dijangka akan siap pada minggu ini sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, kita sudah merakam keterangan lima individu untuk membantu siasatan berkaitan kes tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program penyerahan van jenazah Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Azmi memaklumkan hasil semakan rekod terhadap seorang pengawal keselamatan yang ditahan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah cabul dan samun.

Iklan

Pada Isnin, media melaporkan seorang lelaki berusia 30-an itu direman tujuh hari bermula Ahad hingga Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya masih menyiasat motif kejadian itu.

Iklan
Azmi menerima replika kunci daripada Kuan Chee Heng sebagai simbolik penyerahan van jenazah Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

"Mangsa berusia 25 tahun itu tidak ada apa-apa hubungan dengan suspek," katanya.

Muhammad Idzam berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Mayat wanita berkenaan ditemui anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak yang memadamkan kebakaran bengkel pertanian kemahiran hidup itu selepas menerima laporan kejadian pada jam 6.04 petang Sabtu.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berasingan, Azmi mengucapkan terima kasih kepada Pengasas Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia Kuan Chee Heng yang menyumbangkan dua van jenazah kepada Polis Kuala Lumpur.

"Sebuah van akan ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan sebuah van lagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. Masyarakat boleh menggunakan van jenazah itu untuk urusan pengebumian,” katanya.