SEREMBAN - Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini telah menjalankan siasatan berhubung video seekor tikus berkeliaran di sebuah wad hospital itu yang tular di media sosial baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS), Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata, beberapa langkah penambahbaikan telah diambil bagi mencegah insiden sama daripada berulang.
Iklan
Iklan
"Langkah dilakukan dengan menambah kekerapan dalam jadual pembersihan dan kutipan sampah di samping menitikberatkan penjagaan kebersihan di sekitar hospital khususnya wad.
"Pihak konsesi penyelenggaraan hospital juga telah diarahkan untuk mengenal pasti lokasi yang kerap didatangi tikus dan kuantiti pemasangan perangkap telah dipertingkatkan bagi mengatasi masalah tersebut," katanya dalam kenyataan media di laman Facebook rasmi HTJ pada Rabu.
Menurutnya, tindakan lain dilakukan termasuklah penjadualan kawalan makhluk perosak melalui aktiviti pemeriksaan rutin dan 'planned preventive maintenance' (PPM) mengikut frekuensi yang telah ditetapkan iaitu pada setiap hari dan setiap bulan dengan menggunakan pelbagai kaedah bersesuaian.
Selain itu katanya, Unit Entomologi dan Pest juga turut dilibatkan dalam menjalankan siasatan dan memberi khidmat nasihat teknikal bagi memastikan pelaksanaan aktiviti pencegahan kerosakan serta kawalan makhluk perosak dapat dilaksanakan dengan berkesan.
"Pihak JKNS amat menghargai maklum balas yang diberikan dari semasa ke semasa berusaha untuk memastikan keselesaan dan keselamatan orang awam yang mendapatkan rawatan di hospital adalah terjamin,"katanya.