SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan bahawa Daftar Pemilih Tambahan Bulan Februari Tahun 2022 (DPT BLN2/2022) telah diperaku pada 15 Mac 2022 dan diwartakan pada hari ini (16 Mac 2022).
Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, DPT BLN2/2022 tersebut dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai 16 Mac 2022 hingga 14 April 2022.
Jelasnya, ia mengandungi nama bagi 38,004 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Februari 2022 hingga 28 Februari 2022 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
Selain itu, 11,385 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 5,839 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.
Tambah Ikmalrudin, SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT BLN2/2022 iaitu melalui portal di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my selain portal rasmi pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my
"Boleh juga semak di aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau aplikasi mudah alih MySPR Semak selain hotline SPR di talian 03-8892 7018,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Februari 2022 hingga 28 Februari 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka.
"Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN2/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
"Di samping itu, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang berhasrat membuat bantahan ke atas pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, boleh mengisi Borang D dan hadir ke pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, Borang C dan D boleh dimuat turun dari portal pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan perlu dikemukakan kepada pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat dan hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN2/2022.