Sultan Johor rasmi pembukaan pembangunan fasa akhir JPO

Iklan
Sultan Ibrahim meninjau stor outlet di JPO.

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan merasmikan pembukaan pembangunan fasa ketiga Johor Premium Outlets (JPO) di sini sebentar tadi.

Fasa tersebut merupakan yang terakhir bagi projek pembangunan pusat membeli belah terkenal di Johor.

Iklan
Iklan

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Johor.

Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay dalam sembah ucapannya berkata, JPO telah mentransformasikan industri pelancongan Johor dengan mencipta segmen pasaran baharu dalam bidang pelancongan.

Iklan

Menurutnya, JPO yang mula dibuka pada Disember 2011 itu telah menyumbang kepada kepesatan pembangunan di Iskandar Malaysia.

Sultan Ibrahim mendengar penerangan mengenai JPO.

"Dengan ketibaan lebih 4.5 juta pengunjung setiap tahun, JPO berjaya meletakkan Johor di peta pelancongan runcit rantau ini dan menjana faedah ekonomi besar bagi masyarakat tempatan.

Iklan

"Gedung ini juga telah mencetuskan kesan berganda di luar jangkaan dari segi penjanaan hasil dan peluang kerja, sekali gus membantu Johor membina dan memupuk sumber manusia, membangun bakat serta meningkatkan nilai modal insan secara keseluruhan," katanya.

Kok Thay berkata, JPO merupakan contoh cara pihak Kumpulan Genting menyepadukan pelbagai operasi perniagaannya untuk melahirkan nilai sekali gus memperkukuhkan iltizam kepada negeri ini.

JPO kini menampilkan 150 stor outlet pereka dan jenama yang menjanjikan penjimatan lumayan sehingga 65 peratus setiap hari.

Gedung ini juga telah menjadi destinasi pusat membeli belah yang disukai ramai penggemar fesyen dari Malaysia, Singapura dan lain-lain negara.