KUALA LUMPUR - Kerajaan yakin sasaran pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan menjelang 2025 dapat dicapai berikutan pelbagai strategi makro yang diperkenalkan untuk memulih dan memperkukuh asas ekonomi, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith.
Menurutnya, antara strategi itu adalah usaha untuk meningkatkan produktiviti, menggalakkan pelaburan berkualiti, mempercepat peralihan struktur ekonomi, memanfaatkan penyertaan dalam rantaian nilai global, meningkatkan bahagian pampasan pekerja dan memastikan kemampanan fiskal dalam jangka panjang.
Beliau berkata, kerajaan menyasarkan purata pendapatan isi rumah di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) meningkat daripada RM7,089 pada 2020 kepada RM10,065 pada 2025, iaitu peningkatan 7.3 peratus setahun.
"Sasaran yang ditetapkan ini adalah realistik berdasarkan kepada pencapaian peningkatan purata pendapatan isi rumah bagi tempoh 2009 hingga 2019 iaitu sebanyak 7.0 peratus setahun,” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mengenai perancangan kerajaan untuk memastikan 2025 sebagai sasaran negara berpendapatan tinggi bagi mencapai pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan seperti yang terkandung dalam RMK12.
Eddin Syazlee berkata, sasaran yang ditetapkan juga adalah selari dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada harga semasa sebanyak 7.4 peratus setahun bagi tempoh RMK12 dan matlamat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju.
"Peranan sektor swasta akan terus diperkasa supaya kembali menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi, dan bagi memperkukuhkan peranan sektor swasta, Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional akan menjadi asas pembaharuan yang komprehensif dalam semua inisiatif dan dasar berkaitan pelaburan,” katanya.
Menurutnya, institusi pelaburan akan distruktur semula untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti yang akan menggalakkan pembangunan produk dan perkhidmatan yang kompleks serta mendorong penerimagunaan teknologi termaju.
"Kerajaan juga akan meningkatkan dan mempelbagaikan sumber pendapatan termasuk menyediakan program peningkatan pendapatan dan keupayaan, menambah baik akses keperluan asas, menggalakkan keusahawanan dan pelaburan kepada portfolio penjanaan pendapatan serta meningkatkan sistem perlindungan sosial," katanya. - Bernama