Pengayuh beca minta penjelasan dakwa terima elaun RM100

Iklan
Sarah (kanan) menyerahkan memorandum kepada Zahar (tiga dari kiri) di hadapan Tingkat 3, Komtar pada Rabu.

GEORGETOWN - Lebih 100 pengayuh beca kesal apabila mendakwa elaun bulanan sebanyak RM200 yang diberikan kerajaan Pulau Pinang telah dipotong sebanyak RM100 untuk tahun ini.

Selain itu, mereka turut mendakwa pembayaran elaun itu juga tertangguh sejak Januari lalu, yang mana hanya dibayar melalui akaun bank masing-masing pada Selasa setelah mengetahui satu demonstrasi akan diadakan di Tingkat 3, Komtar di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan

Pengayuh beca di kawasan bandar, Nordin Lazim, 57, berkata, kali terakhir menerima elaun tersebut adalah pada Disember lalu iaitu sebanyak RM200.

Bagaimanapun, dia yang mengayuh beca sejak 30 tahun berkata, bagi tahun ini, hanya RM300 untuk tiga bulan dimasukkan ke dalam akaunnya pada Selasa.

Iklan

"Sepatutnya elaun kami keseluruhannya berjumlah RM600, namun kami hanya dapat RM300 sahaja semalam (Selasa) tanpa sebarang penjelasan.

"Elaun pula dibayar lewat selama tiga bulan, memang sukar untuk kami meneruskan kehidupan kerana kekurangan pelanggan ketika musim penularan Covid-19," katanya ketika ditemui Tingkat 3, Komtar di sini pada Rabu.

Iklan
Nordin

Terdahulu, sekumpulan penarik beca bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Urban Life Volunteers dan Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang (Surplus) menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengenai perkara tersebut.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Pengasas Urban Life Volunteers, Sarah Abdullah kepada pegawai penerangan kepada Ketua Menteri, Zahar Zainul untuk disampaikan kepada Kon Yeow bagi tindakan selanjutnya.

Sementara itu, seorang lagi pengayuh beca Mohd Ibrahim Mohd, 69, berkata, kerajaan negeri diharap agar mempertimbangkan semula mengenai isu elaun tersebut kerana ia amat bermakna kepada pengayuh beca.

"Saya harap kerajaan negeri membayar elaun seperti sebelum ini iaitu RM200 setiap bulan, tambahan pula pada waktu yang sukar ini. Ia amat membantu untuk kami meneruskan hidup.

"Selain kos kehidupan harian, kami juga perlu membayar sewa beca RM50 setiap bulan. Jika elaun dikurangkan RM100, selepas bayar sewa, baki yang tinggal hanya RM50 sahaja.

"Pada waktu sekarang, pelancong luar tak ada, pendapatan kami memang merosot. Sebelum ini, boleh harapkan dengan elaun bulanan, tetapi kini dikurangkan, jadi apa saja yang tinggal?" soalnya.

Dalam pada itu, usaha untuk mendapatkan komen Exco Pelancongan, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin gagal apabila beliau tidak menjawab panggilan telefon dan mesej melalui WhatsApp.

Menurutnya, penarik beca juga ada menerima bantuan daripada kerajaan negeri yang disalurkan melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang bernilai RM500 (one-off) pada Julai tahun lalu dan elaun bulanan RM100.

Elaun bulanan sebanyak RM100 telah mula diberikan oleh kerajaan negeri kepada semua pengayuh beca berdaftar sejak 2008.