BERLIN - Kes jangkitan harian Covid-19 di Jerman mencatat angka tertinggi pada Rabu susulan subvarian baharu Omicron yang sedang menular di seluruh negara.
Agensi kawalan penyakit negara Institut Robert Koch (RKI), mengesahkan 262,593 kes baharu direkodkan dengan 269 kematian dalam tempoh 24 jam lepas, lapor Agensi Anadolu.
Kelonggaran peraturan anti-Covid sejak bulan lepas dan penyebaran subvarian Omicron BA.2 menjadi faktor utama lonjakan kes.
Subvarian baharu, lebih mudah menular berbanding strain Omicron BA.1, kini menyumbang lebih 48 peratus kes di Jerman, menurut RKI.
Meskipun terdapat lonjakan jangkitan, majoriti kes Omicron setakat ini adalah ringan serta tidak memerlukan kemasukan ke hospital.
Menurut pakar, kadar pemberian vaksin yang tinggi dalam kalangan warga emas telah mencegah penyakit lebih teruk dan kematian akibat virus itu.
Hampir 89 peratus individu berumur 60 tahun ke atas sudah lengkap divaksin dan 78 peratus daripadanya telah menerima dos penggalak.
Sementara itu, di Korea Selatan, kes jangkitan harian mencecah 400,741 pada Selasa, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 7,629,275 kes, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).
Kes harian meningkat mendadak daripada 362,329 kes pada Isnin, akibat penularan varian Omicron kebanyakkannya di wilayah Seoul, Gyeonggi dan Incheon, lapor Xinhua.
Seramai 164 maut pada Selasa menjadikan jumlah keseluruhan korban setakat ini 11,052 dengan kadar kematian 0.14 peratus.
Sebanyak 86.6 peratus penduduk Korea Selatan atau 44,443,726 individu sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19.
Jumlah mereka yang menerima dos penggalak pula seramai 32,185,393 atau 62.7 peratus. - Bernama