PUTRAJAYA - Malaysia menarik balik larangan import lembu dan kerbau dari Thailand berkuat kuasa serta-merta, umum Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Jabatan itu memaklumkan keputusan tersebut merupakan hasil persetujuan bersama Jabatan Pembangunan Ternakan (DLD) Thailand berhubung langkah pengawalan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) melibatkan pengimportan lembu dan kerbau.
"Keputusan ini dibuat setelah beberapa penambahbaikan dalam peraturan dan prosedur import dilakukan. Ia turut mengambil kira langkah-langkah mitigasi yang boleh diambil dalam negara bagi mengawal penyakit LSD,” menurut jabatan itu dalam kenyataan pada Rabu.
Pada 8 Jun tahun lalu, Malaysia telah menggantung serta-merta pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand selepas menilai risiko penularan penyakit LSD yang dilaporkan menular di lebih 41 wilayah di negara itu.
Penggantungan itu juga bertujuan membendung risiko penularan penyakit LSD dari Thailand demi kepentingan industri penternakan ruminan negara.
Susulan penarikan semula larangan import itu, DVS memohon kerjasama pemain industri untuk memastikan pembelian ternakan dari Thailand dibuat melalui pembekal ternakan yang sah dan berdaftar dengan DLD.
Jabatan itu memberitahu ia bertujuan memastikan setiap prosedur dalam pengawalan penyakit LSD dapat dipatuhi sekali gus mengelakkan ternakan berpenyakit dibawa masuk ke negara ini.
DVS turut menjangkakan bekalan ternakan lembu dan kerbau tidak terganggu dan mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri dijangka pada Mei ini. - Bernama