SINTOK - Sebanyak 20 badan pelajar menyertai program 'Pitching Session' yang bertujuan untuk melahirkan pemimpin dinamik di Dewan Auditorium, Pusat Penginapan Pelajar (SAC) Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP),Dr Masudi Mahmudin berkata, beliau berharap pelajar menggunakan peluang ini untuk membentang dan berkongsi idea bagi memilih program yang berimpak tinggi kepada pelajar dan universiti.
Katanya, mereka perlu merancang dan memilih program yang mempunyai ‘pakej’ antaranya menjalinkan kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO), badan berkanun, kerajaan negeri, daerah, swasta, korporat dan masyarakat setempat.
"Bagi saga idea yang diilhamkan oleh Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Prof Madya Dr Hendrik Lamsali ini perlu diberi perhatian dan penekanan bagi melahirkan tokoh siswa yang mempunyai idea dan dapat menjalankan pula program yang berimpak tinggi," katanya
Sementara itu, Pengerusi Kelab Patriot Chapter Sabah, Mohd Irfandi Arifin, 23, berkata, melalui program ini mereka mendapat gambaran lengkap hasrat pihak universiti yang mahukan mereka melaksanakan program berimpak tinggi.
"Saya melihat melalui perlaksanaan ini komunikasi dalam kalangan pelajar perlu dimantapkan terutama ketika berhubung dengan pihak luar bagi menjayakan program yang ingin dilaksanakan," katanya.
Pelajar Sarjana Muda Pengurusan ini yakin juga yakin, dengan bimbingan dan hasrat yang diilhamkan oleh Prof Dr Hendrik itu, program yang akan dilaksanakan dapat membantu masyarakat dan melahirkan pelajar UUM yang unggul dan hebat.
Dalam pada itu, lebih 36 kertas kerja dibentangkan oleh 20 badan pelajar terbabit untuk dikongsi bersama peserta lain dalam Pitching Session ini.