PUTRAJAYA - Seorang remaja perempuan yang didakwa membunuh bayi yang baru dilahirkannya telah memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan agar dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan kes itu.
Peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili remaja berumur 15 tahun itu, dalam kenyataan hari ini memaklumkan, notis usul untuk ikat jamin telah difailkan hari ini.
Remaja itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman pada 15 Februari lepas atas pertuduhan membunuh bayinya di sebuah rumah di Seri Bandi antara 7 dan 9 pagi pada 8 Februari.
Bagaimanapun, dia tidak dibenarkan diikat jamin sementara menunggu perbicaraan.
Permohonannya untuk dirujuk bagi penilaian kesihatan mental turut ditolak oleh mahkamah sama.
Remaja itu kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Majistret yang tidak membenarkannya diikat jamin namun ditolak pada 8 Mac.
Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan sebahagian permohonan semakan remaja itu dan memerintahkan agar dia dirujuk untuk menjalani penilaian psikiatri.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dihukum mati mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan hukuman itu akan digantikan dengan penjara bagi suatu tempoh yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang Dipertua Negeri, bergantung kepada tempat kesalahan dilakukan.
Pada 18 Februari lepas, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan memaklumkan bahawa ia masih boleh menyiasat dan menyemak pertuduhan membunuh terhadap remaja itu yang didakwa menikam bayinya sehingga mati serta menggantikannya dengan pertuduhan lain. - Bernama