Kerjasama KPDNHEP, MRT perkasa advokasi kepenggunaan

Iklan
Alexander Nanta Linggi -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalin kerjasama dengan penyedia perkhidmatan pengangkutan awam Transit Aliran Massa (MRT) sebagai satu langkah memperkasa program advokasi kepenggunaan kepada masyarakat.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerjasama itu dilihat bersesuaian dan mampu mencapai impak positif berikutan capaian kepada pengguna dimiliki MRT dengan purata 62,000 penumpang sehari yang kebanyakannya tinggal di sekitar Lembah Klang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, setiap hari pengguna akan menghabiskan sebahagian masa mereka di dalam koc MRT untuk ke destinasi masing-masing, oleh itu mereka akan dapat menambah ilmu mengenai kepenggunaan menerusi pelbagai iklan, poster Ilmu Kepenggunaan dan panduan membuat aduan serta tuntutan tebus rugi yang ditampal di dalam koc dan stesen MRT.

"Usaha ini kita lihat perlu kerana statistik kajian Indeks Pendayaupayaan Pengguna Malaysia oleh kementerian pada 2020 menunjukkan tahap pengetahuan pengguna mengenai hak mereka masih terlalu sederhana iaitu sekitar 63.1 peratus sahaja.

Iklan

"Selain kerjasama dengan penyedia perkhidmatan pengangkutan awam seperti MRT, kita juga telah mewujudkan kerjasama dengan MedicTV, Phar Partnership, platform pasaran secara dalam talian dan sebagainya untuk terus memberi advokasi kepenggunaan," katanya pada sidang akhbar majlis Advokasi Kepenggunaan Melalui Medium Pengangkutan & Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2022 pada Rabu.

Nanta turut menggalakkan pengguna supaya terus memanfaatkan teknologi dengan kewujudan aplikasi Price Catcher dan MySales Tracker yang dibangunkan kementerian itu bagi membolehkan pengguna lebih berhati-hati dalam melakukan perbandingan harga barangan serta membuat semakan aktiviti jualan murah di lokasi sekitar mereka.

Iklan

"Selaras dengan hasrat ke arah Digitalisasi Pengguna, kita juga telah mentransformasikan aplikasi ezAdu bagi membolehkan pengguna menyalurkan aduan kepada KPDNHEP.

"Aplikasi ini dijangka dapat digunakan sepenuhnya akhir bulan ini dan akan dihubungkan secara terus dengan sistem e-Aduan KPDNHEP sedia ada," katanya.

Beliau berkata, buat julung kalinya, negara menyambut Bulan Pengguna Kebangsaan dan majlis sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 akan berlangsung pada 26 Mac ini di pusat beli-belah NU Sentral dengan menyediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjung. -Bernama