KUALA LUMPUR - Muafakat Nasional (MN) yang digagaskan oleh UMNO dan Pas masih belum ada penutup atau dikhatamkan, walaupun sudah sampai ke ‘hayat’ terakhir ketika ini.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana secara asasnya setiap hubungan perlu melalui proses tertentu.
"MN itu belum lagi tamat walaupun dia dah sampai hayat akhir tapi belum kita khatamkan.
"Jadi elok kita sama-sama berfikir tapi kita perlu jelaskan (mengenai hubungan MN ketika ini).
"Seperti yang saya katakan tadi, kita cuma akan bersama (dengan parti) yang setia bukan orang yang main banyak kolam yang akhirnya nanti ramai orang akan keliru dan kita sendiri akan keliru,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebaik selesai menyempurnakan perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada malam Rabu.
Sementara itu, ditanya sebab Pas tidak dijemput menyertai Perhimpunan Agung UMNO kali ini, Mohamad menjelaskan ia disebabkan faktor prosedur operasi standard (SOP).
"Kita tidak cukup tempat (untuk jemput Pas) serta perlu patuhi SOP (yang ditetapkan susulan negara masih lagi berdepan pandemik Covid-19),” katanya.