IPOH - Kerajaan Perak membatalkan pemakaian Undang-undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian 2017 (UUK Tred 2017) yang memberikan kadar kenaikan lesen di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), berkuatkuasa serta merta.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas kalangan peniaga dan rakyat yang bimbang kenaikan berkenaan memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup.
Menurutnya, jika akta itu terus diguna pakai, dijangka berlaku kenaikan kadar lesen antara 100 peratus hingga 400 peratus.
"Kadar baharu lesen ini telah menunjukkan perbezaan amat ketara berbanding UUK Tred 1989, perkara ini telah kita perincikan dan dibentangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri, semalam.
"Setelah meneliti kesemua aspek, kerajaan negeri sebulat suara memutuskan agar pemakaian UUK Tred 2017 ini dibatalkan, dengan itu tiada sebarang kenaikan kadar lesen di semua 15 PBT dan kerajaan negeri akan mewartakan semula UUK Tred 1989," katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, penyelarasan semula akan dibuat bagi peniaga atau pelesen yang telah membuat bayaran dengan cara menolak balik baki bayaran pada permohonan lesen, tahun depan.
Katanya, UUK Tred 2017 diluluskan pentadbiran terdahulu bertujuan untuk menyeragamkan syarat-syarat pelesenan dan membantu meningkatkan hasil PBT.
"Bagaimanapun, kita berpendapat untuk meningkatkan pendapatan PBT bukan sekadar dengan menaikkan caj atau melalui kutipan cukai.
"Apa yang lebih penting adalah soal kebajikan rakyat terus terbela, dasar baru yang kita buat ini adalah selari dengan janji-janji dalam manifesto PH pada PRU14 lalu," katanya.